MARA Tidak Wajar Batalkan Biasiswa Ke United Kingdom dan Ireland

 Saya telah mendapat aduan dari ibu bapa pemegang-pemegang biasiswa MARA bagi kursus perubatan yang sepatutnya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland tetapi telah ditukar pada saat akhir. 

Pelajar-pelajar tajaan MARA yang berjumlah 31 orang sebelum ini telah menjalani kursus International Baccalaureate (IB) di Kolej MARA Banting di bawah Skim Pelajar Cemerlang. Tawaran asal ialah bagi menjalani kursus ijazah perubatan di universiti-universiti di United Kingdom dan Ireland sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat berikut: 

1. Mendapat keputusan purata 33 dari markah keseluruhan 45 di dalam peperiksaan IB

2. Mendapat tawaran di universiti-universiti yang diluluskan MARA bagi kursus ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland

Saya dimaklumkan bahawa setelah mereka selesai menjalani peperiksaan dan memenuhi dua syarat di atas, baru-baru ini pelajar-pelajar ini telah dimaklumkan bahawa MARA tidak lagi mampu untuk menghantar mereka melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland seperti perjanjian asal penajaan. Alasan yang diberi adalah MARA tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi memandangkan keadaan ekonomi negara dan tukaran wang yang tidak baik. 

Mereka diminta untuk menguruskan sendiri urusan membuat permohonan kemasukan ke universiti-universiti di negara lain. Oleh kerana permohonan ke universiti-universiti di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Canada telah ditutup, maka pelajar-pelajar cemerlang ini hanya ada pilihan di universiti-universiti di India, Indonesia dan Malaysia. 

Sudah tentu pelajar-pelajar cemerlang ini dan keluarga mereka tidak boleh menerima alasan MARA mengenai keadaan kewangan bila mana MARA terlibat di dalam pembelian hartanah bernilai RM375 juta di Australia. Dari jumlah itu, RM129 juta dipercayai melibatkan urusniaga yang meragukan sehingga MARA terpaksa membayar lebih dari harga pasaran.

Oleh kerana pelajar-pelajar cemerlang ini telah memenuhi syarat-syarat penajaan, maka wajarlah pihak MARA dan Kerajaan Persekutuan menunaikan janji seperti syarat-syarat penajaan iaitu untuk menghantar mereka melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland. 

Saya akan menghantar aduan secara rasmi kepada YB Datuk Nurjazlan Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan ahli-ahli PAC supaya membawa perkara ini apabila MARA dipanggil memberi keterangan mengenai pembelian-pembelian hartanah di Australia. 

Saya juga menyeru supaya YB Dato’ Seri Shafie Afdal dengan segera menyelesaikan perkara ini dengan mengekalkan program penajaan pelajar cemerlang ke United Kingdom dan Ireland sebelum kredibiliti MARA di mata rakyat terus jatuh. 

Saya akan membantu keluarga pelajar-pelajar terbabit dengan membawa isu ini sehinggalah mereka mendapat tempat seperti perjanjian penajaan mereka dengan MARA.

 

 

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “MARA Tidak Wajar Batalkan Biasiswa Ke United Kingdom dan Ireland”

  1. salam en rafizi.
    anak saya juga telah mendapat tawaran di united kingdom dalam bidang bioteknologi. mohon en rafizi panjangkan masalah ini kerana anak saya dan kawannya juga dikehendaki memohon semula universiti di us, australia, new zealand atau kanada.
    tindakan dari en rafizi amat dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.