Harga Minyak RON95, Diesel Dan RON97 Bagi Ogos 2015

Oleh kerana kejatuhan harga minyak mentah dunia kebelakangan ini nampaknya tidak diterjemahkan kepada harga RON95, diesel dan RON97 yang lebih murah, saya telah mengambil keputusan untuk memantau kembali harga RON95, diesel dan RON97 yang ditetapkan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini di antara Oktober 2014 hingga Mac 2015, saya mengikuti dengan dekat perubahan harga pasaran dunia bagi minyak mentah dan minyak yang telah diproses mengikut gred (iaitu RON95, diesel dan RON97) seperti yang dilaporkan oleh Platts di Singapura.

Harga minyak mentah dunia mengikut harga rujukan Brent telah jatuh sehingga 15% dalam bulan Julai sahaja (iaitu dari USD62 setong di awal Julai 2015 kepada USD53 setong di akhir Julai 2015) seperti berikut:

crudejuly15

Walaupun secara umumnya pola kejatuhan harga ini turut dicatatkan oleh pasaran minyak siap diproses (RON95, diesel dan RON97) Singapura yang dijadikan harga rujukan, kejatuhan harga itu tidak dirasai oleh rakyat Malaysia kerana kejatuhan nilai ringgit. Oleh kerana harga rujukan untuk mengira harga RON95, diesel dan RON97 adalah di dalam Dollar Amerika Syarikat, harga rujukan itu perlu ditukar kepada harga di dalam Ringgit Malaysia terlebih dahulu. Semakin lemah nilai Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika Syarikat, semakin tinggilah harga RON95, diesel dan RON97 yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Malangnya, nilai Ringgit Malaysia terus menjunam sepanjang bulan Julai 2015 seperti berikut (jatuh dari RM3.735 di awal hingga mencecah RM3.815 di akhir):

ringgit1month

Malah ini meneruskan kejatuhan nilai ringgit sejak setahun lepas seperti berikut (dari sekitar RM3.10 setahun lepas hingga jatuh kepada RM3.80):

ringgit1y

Senarai harga setiap hari mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri berdasarkan harga pasaran RON95, diesel dan RON97 sepanjang Julai 2015 seperti yang dilaporkan di Singapura diperincikan di dalam Lampiran.

Download (PDF, 43KB)

Berdasarkan senarai harga harian sepanjang Julai 2015 itu, maka harga bagi RON95, diesel dan RON97 bagi Ogos 2015 adalah seperti berikut:

RON95 – kekal pada harga RM2.15 seliter

Diesel – turun 20 sen dari RM2.05 seliter kepada RM1.85 seliter

RON97 – turun 20 sen dari RM2.55 seliter (termasuk GST) kepada RM2.35 seliter (termasuk GST)

Harga Minyak Ogos-01

Sekiranya harga yang ditetapkan oleh kerajaan berkuatkuasa 1 Ogos 2015 lebih mahal dari harga-harga ini, bermakna kerajaan mengutip cukai tersembunyi dari rakyat kerana harga ditetapkan lebih mahal dari formula yang digunapakai. Sekiranya harga yang ditetapkan adalah lebih murah, bermakna kerajaan memperkenalkan kembali subsidi untuk menurunkan harga minyak.

Untuk mengenalpasti kesan kejatuhan nilai ringgit ke atas harga minyak yang ditanggung rakyat, saya telah membuat satu simulasi mudah untuk menentukan apakah harga RON95 bagi Ogos 2015 sekiranya kadar matawang ringgit berbanding dollar kekal pada paras di bulan-bulan yang lepas. Keputusannya seperti berikut:

Bulan Kadar Matawang Harga RON95
1-Aug-14 3.212 1.86
1-Jan-15 3.495 2.00
1-Feb-15 3.634 2.07
1-Mar-15 3.612 2.06
1-Apr-15 3.699 2.10
1-May-15 3.594 2.05
1-Jun-15 3.693 2.10
1-Jul-15 3.766 2.13

Ini bermakna, sekiranya kadar matawang kekal seperti 1 Ogos 2014, harga RON95 mengikut formula kerajaan sepatutnya hanyalah RM1.86 seliter (berbanding RM2.15 seliter sekarang) pada harga minyak mentah yang sama di pasaran. Tanpa perubahan harga minyak mentah, kejatuhan nilai ringgit dari RM3.212 pada 1 Ogos 2014 kepada RM3.766 pada 1 Julai 2015 telah menyebabkan rakyat terpaksa membayar RON95 pada harga RM2.15 seliter sedangkan harga sebenar hanyalah RM1.86 seliter.

Saya dengan ini menyeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang baru untuk melaksanakan perkara berikut dengan segera:

1. Menyiarkan jadual pengiraan harga setiap hari yang digunakan untuk menetapkan harga setiap awal bulan seperti yang saya lakukan ini untuk memastikan tiada cukai tersembunyi yang dikutip dari rakyat

2. Memperkenalkan kembali subsidi sebanyak 30 sen setiap liter yang perlu ditanggung oleh kerajaan untuk mengembalikan harga minyak RON95, diesel dan RON97 kepada harga sebenar mengikut harga pasaran iaitu RM1.85 seliter (bagi RON95). Ini penting untuk mengimbangi kesan kejatuhan nilai ringgit yang kini menjadi bebanan utama kepada rakyat

Saya akan terus memantau harga minyak dan pasaran minyak mentah dan mengumumkan harga mengikut formula pada setiap akhir bulan untuk memastikan ketelusan penetapan harga RON95, diesel dan RON97.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Undi Tidak Percaya Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak Ke Arah Penubuhan Kerajaan Peralihan (“Transition Government”)

Sejak pendedahan-pendedahan mengenai keterlibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung tuduhan salahlaku pengurusan dana 1MDB dibuat, seluruh negara menjadi mangsa apabila urusan pentadbiran dan pembangunan dikorbankan demi percaturan politik beliau.

Keadaan menjadi parah kebelakangan ini sejak pendedahan Wall Street Journal (WSJ) mengenai pemindahan wang sejumlah RM2.6 bilion ke akaun yang dituduh milik peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Beberapa minggu ini, seluruh negara diheret dengan pelbagai desas-desus pergolakan politik dalaman Umno seperti berikut:

1.    Perpecahan dalaman di dalam Pasukan Petugas Khas (“Special Task Force”) yang diamanahkan menyiasat penglibatan Perdana Menteri kepada dua kumpulan – satu yang ingin menyelamatkan Perdana Menteri dan satu lagi yang ingin mendakwa Perdana Menteri. Perkara ini disahkan dengan berita pemecatan Peguam Negara pada hari ini.

2.    Pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kanan dari Umno untuk mengukuhkan kedudukan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Segala desas-desus begini adalah tidak baik untuk negara kerana ia menimbulkan ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial. Kedegilan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk terus berkuasa akan mengheret negara dengan ketidaktentuan selagi ia tidak diselesaikan segera.

Kami mengutuk sekerasnya-kerasnya tindakan mementingkan diri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengheret seluruh negara sedangkan tanggungjawab beliau adalah mentadbir dan menguruskan negara dengan cekap, telus dan amanah.

Oleh yang demikian, pimpinan-pimpinan KEADILAN, DAP dan Harapan Baru yang hadir pada hari ini menyeru supaya ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang sayangkan negara supaya mengambil tindakan drastik menyokong penubuhan sebuah kerajaan peralihan (“transition government”) dengan terma rujukan yang khusus seperti berikut:

1.    Perlantikan seorang Perdana Menteri interim dari kalangan pimpinan terkanan (“elder statesman”) bagi tempoh satu tahun sehingga PRU14 yang dipanggil di akhir tempoh tersebut.

2.    Reformasi institusi-institusi penting untuk memastikan PRU14 akan berjalan dengan adil dan keluhuran perlembagaan dan undang-undang dikembalikan.

3.    Penyelesaian kepada skandal-skandal utama negara termasuk 1MDB dengan matlamat memastikan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.

4.    Merombak dasar-dasar ekonomi yang menindas rakyat.

Penubuhan kerajaan peralihan ini boleh diadakan dalam masa terdekat sekiranya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional bersama-sama ahli-ahli Parlimen KEADILAN, DAP dan Harapan Baru menyokong satu usul tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak. Usul in boleh dibuat diluar sidang Parlimen atau semasa sidang Parlimen akan datang.

Dengan desas-desus yang tersebar luas bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, sudah sampai masanya beliau dan kumpulan beliau serta ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain yang cintakan negara menyokong satu usaha menubuhkan kerajaan peralihan melalui satu undi tidak percaya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kami juga memberi amaran kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk tidak mengambil peluang dari pergolakan dalaman Umno ini untuk terus menyalahgunakan kuasa dengan menahan pimpinan-pimpinan pembangkang, pengamal media dan mereka yang mengkritik pentadbiran beliau. Sekiranya beliau meneruskan amalan biasa Umno yang memenjarakan lawan politik pembangkang ketika berlaku pergolakan dalaman Umno, kami pasti ratusan ribu rakyat akan turun ke jalanraya yang akan mempercepatkan kejatuhan beliau.

Kami akan membawa pulang cadangan undi tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak ke arah penubuhan sebuah kerajaan peralihan (“transition government”) untuk diperhalusi di peringkat parti masing-masing. Kami yakin rakyat mahu melihat satu kepimpinan yang tegas dari parti-parti pembangkang agar kemelut ketidaktentuan akibat pergolakan dalaman Umno dan tuduhan rasuah terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak ini dapat dihentikan serta merta untuk mengembalikan urusan pentadbiran negara yang mengutamakan kebajikan rakyat.

28 Julai 2015


Mohamad Sabu

Dr Dzulkefly Ahmad

YB Khalid Samad

YB Saari Sungib

YB Dr Siti Mariah

YB Hanipa Maidin

YB Dr Hatta Ramli

YB Kamarudin Jaffar

YB Hasnul Baharuddin

Hj Izham Hashim

YB Tony Pua

YB Teresa Kok

YB Liew Chin Tong

YB Rafizi Ramli

Dato’ Saifuddin Nasution

YB Sim Tze Tzin

YB Wong Chen

Pembelaan Dan Tuntutan Balas Ke Atas Saman Dato’ Seri Najib Tun Razak Dan Datin Seri Rosmah Mansor

Saya mengambil keputusan untuk menyiarkan dan mengedarkan Pembelaan dan Tuntutan balas yang telah saya failkan terhadap satu saman yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap saya.

Saya berpendapat memandangkan rakyat tidak pernah berhadapan dengan seorang Perdana Menteri yang menggunakan tindakan saman untuk menjawab kritikan pembangkang, rakyat juga perlu tahu bahawa hujah-hujah pembelaan dan tuntutan balas di mahkamah mempunyai asas yang kukuh dan bersifat kepentingan awam. Ini penting untuk mendidik rakyat supaya tidak takut dengan ugutan tindakan saman yang nampaknya kini menjadi senjata utama Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya sertakan salinan Pembelaan dan Tuntutan Balas dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang telah difailkan di mahkamah untuk dinilai oleh rakyat.

Download (PDF, 549KB)

Download (PDF, 521KB)

Merujuk kepada Pembelaan dan Tuntutan Balas, hujah-hujah penting Pembelaan saya adalah seperti berikut:

1. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Plaintif Pertama (Dato’ Seri Najib Tun Razak) telah dan adalah bertanggungjawab dalam pelaksanaan semua dasar yang melibatkan ekonomi dan perdagangan. Oleh itu, tindakan-tindakan, usaha-usaha dan dasar-dasar Kerajaan Malaysia yang dianggotai oleh Kabinet dan Plaintif Pertama adalah perkara yang bersifat amat berkepentingan awam dan terbuka kepada kritikan dan pendapat umum.

2. Plaintif Kedua (Datin Seri Rosmah Mansor) ialah isteri Perdana Menteri dan telah memperkenalkan diri atau diperkenalkan sebagai Wanita Pertama Malaysia (First Lady of Malaysia). Peranan Wanita Pertama Malaysia telah dipersembahkan sebagai satu komponen Jabatan Perdana Menteri lengkap dengan kakitangan kerajaan, pejabat dan laman web rasmi. Plaintif Kedua sebagai Wanita Pertama Malaysia telah banyak melibatkan diri dengan pelbagai usaha awam atau berkepentingan awam yang telah menerima dana atau sokongan daripada kerajaan Malaysia atau pegawai kerajaan Malaysia. Plaintif Kedua juga selalu hadir majlis kerajaan atau berkaitan kerajaan di dalam dan luar negara. Oleh itu, Plaintif Kedua sebagai Wanita Pertama Malaysia telah banyak menerima liputan rasmi dan sentiasa menjadi subjek berita dan ulasan awam.

3. Oleh kerana kedua-dua Plaintif Pertama dan Kedua adalah tokoh rasmi yang terlibat dalam perkara berkepentingan awam dan isu yang dibawa oleh saya (penarikan subsidi minyak oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak) adalah berkaitan kepentingan awam, perkataan-perkataan yang diaju adalah dilindungi oleh perlindungan mutlak (absolute privilege).

4. Merujuk kepada perkataan-perkataan yang diadu (terutamanya pembelian cincin), Plaintif Kedua (Datin Seri Rosmah Mansor) melalui kelakukan sendiri dan pengenalan beliau, telah menerima liputan meluas mengenai perbelanjaan beria-ia dan pembelian/penerimaan beg tangan berjenama dan barang kemas yang amat mahal. Ini termasuk dakwaan yang dibuat oleh Deepak Jaikishen mengenai pembelian barang kemas dan paparan skrin Sistem Maklumat Kastam mengenai sebentuk cincin berharga melebihi RM24 juta. Sehingga kini, barang kemas, beg tangan dan gaya hidup Plaintif Kedua yang mewah terus menjadi bahan perbualan orang ramai. Oleh yang demikian, telah timbul persepsi umum bahawa Plaintif Pertama dan Plaintif Kedua menjalani gaya hidup mewah yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka sebagai penjawat awam.

5. Penyataan yang diadu (termasuk pembelian cincin dan penghapusan subsidi) perlu difahami dalam konteks yang benar sebagai berseloroh dan sindiran mengambil kira perkara-perkara (1) hingga (4) di atas.

Kebelakangan ini, media-media Umno memainkan kononnya saya menafikan mengenai pembelian cincin kerana takut dengan tindakan saman yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Seperti yang difailkan di mahkamah, jelas bahawa saya menjelaskan konteks ucapan bila dibandingkan dengan persepsi umum mengenai barang kemas, beg tangan dan kehidupan mewah Perdana Menteri dan isterinya.

Saya menyeru supaya pimpinan politik, NGO dan orang ramai jangan ditakutkan dengan ugutan saman oleh penjawat awam terutamanya Perdana Menteri. Mereka perlu terus dikritik dan dipertanggungjawabkan kerana itu asas penting dalam sistem demokrasi yang sihat.

Oleh itu, saya telah menyaman kembali Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam Tuntutan Balas kerana tindakan saman yang dibawa terhadap saya itu adalah percubaan untuk menutup mulut saya daripada terus membawa isu rakyat yang tidak disengani oleh Perdana Menteri.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Sekatan Keluar Negara Ekoran Skandal 1MDB

Saya baru dimaklumkan bahawa Saudara Tony Pua telah dihalang dari meninggalkan negara atas penglibatan beliau mendedahkan kes 1MDB. Ekoran itu, saya telah menyemak status saya di laman web Jabatan Imigresen Malaysia dan mendapati status senarai hitam saya adalah sama seperti status Saudara Tony Pua seperti berikut:

imdbimigresen

Oleh yang demikian, saya mengesyaki saya juga telah disenarai hitamkan dan tidak dibenarkan keluar dari Malaysia.

Mengikuti perkembangan sejak beberapa minggu lepas, saya juga mengesyaki bahawa saya dan Saudara Tony Pua akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat dan berkemungkinan akan ditahan berdasarkan fitnah yang disebarkan melalui video oleh seorang yang bernama Lester Melanyi.

Daripada hari pertama perkara ini disebarkan, saya telah menyatakan bahawa tuduhan itu adalah sebahagian dari konspirasi jahat untuk menutup mulut kami (saya, Saudara Tony Pua, Sarawak Report dan The Edge) oleh kerana kelantangan kami membawa isu 1MDB sejak beberapa tahun yang lepas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tuduhan Melanyi Terbukti Satu Penipuan

Saya merujuk kepada laporan The Malaymail Online mengenai tuduhan yang dibuat Lester Melanyi tentang kewujudan seorang jurugrafik pakar bernama James Steward Stephen yang kononnya bertanggungjawab membuat dokumen palsu mengenai 1MDB yang digunakan oleh Sarawak Report.

Walau bagaimana pun, pada hari ini The Malaymail Online telah mendedahkan bahawa orang yang dituduh itu (James Steward) yang mana gambarnya turut disiarkan di dalam video pengakuan Lester Melanyi rupa-rupanya seorang pengurus rangkaian keretapi di United Kingdom yang tidak ada kena mengena dengan Malaysia. Perkara ini disahkan oleh wakil majikan beliau sendiri seperti dilaporkan oleh The Malaymail Online http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/sarawak-report-accusers-video-used-photo-of-uk-rail-service-manager

Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa pengakuan yang dibuat oleh Lester Melanyi adalah palsu dan bermotif keuntungan kepada dirinya setelah dia sendiri mengakui menerima wang untuk menghasilkan video tersebut.

Ia juga menjadi satu tamparan dan pengajaran kepada Datuk Abdul Rahman Dahlan, menteri yang tampil ke hadapan kononnya mendedahkan perkara ini. Setelah dibuktikan bahawa kredibiliti Lester Melanyi diragui terutamanya berikutan rekodnya menyiarkan kartun Rasulullah sehingga menyebabkan akhbar Sarawak Tribune ditutup, Datuk Abdul Rahman Dahlan masih bertegas mempertahankan kononnya berita yang dibawa Lester Melanyi itu betul walaupun sebagai seorang individu Lester Melanyi tidak mempunyai kredibiliti.

Dengan pendedahan pada hari ini bahawa dakwaan Lester Melanyi tentang kewujudan seorang jurugrafik pakar yang membuat dokumen palsu itu rekaan Lester Melanyi semata-mata, wajarlah Datuk Abdul Rahman Dahlan tampil meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana beliau sendiri membawa berita palsu yang tidak disemak kesahihannya untuk mengelirukan rakyat mengenai skandal 1MDB.

Saya juga percaya bahawa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat Lester Melanyi untuk mengetahui siapa dalang di belakangnya yang membayar Lester Melanyi untuk menyebarkan tuduhan palsu kerana tuduhan-tuduhan itu mengganggu siasatan skandal 1MDB yang sedang berjalan sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN