Pelaburan KWAP, KWSP Dan Tabung Haji Di Dalam IMDB Berisiko Besar Walau Dijamin Kerajaan

20 MEI 2015

Jawapan Perdana Menteri bagi soalan bertulis saya bertarikh 18 Mei 2015 mengesahkan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) adalah lebih besar dari apa yang pernah dilaporkan sebelum ini. Selain dari pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd, Perdana Menteri mengesahkan bahawa KWAP juga mempunyai pelaburan dan pegangan berjumlah RM1.4 bilion di dalam 4 anak syarikat 1MDB termasuklah Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Ini bermakna dari RM1.5 bilion bon yang diterbitkan oleh 1MDB (melalui Bandar Malaysia Sdn Bhd) bagi membiayai penempatan semula operasi ketenteraan di Kem Udara Sungai Besi, RM920.8 juta telah dilanggan oleh Tabung Haji dan besar kemungkinan baki RM579.2 juta telah dilanggan oleh KWAP. Baki pelaburan dan pegangan KWAP yang lain berkemungkinan dalam bentuk bon yang diterbitkan oleh anak-anak syarikat 1MDB yang disenaraikan Perdana Menteri pada hari Isnin.

Jawapan Perdana Menteri itu juga mengesahkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terdedah kepada risiko kewangan 1MDB melalui pelaburan dan pegangannya yang berjumlah RM1.72 bilion.

Saya kurang bersetuju dengan pendapat Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan bahawa pegangan bon di dalam 1MDB dan anak-anak syarikat janakuasa 1MDB adalah selamat kerana ia dijamin kerajaan. Beliau juga dipetik dengan berkata bahawa sekiranya 1MDB mengalami masalah pun, apabila aset-aset 1MDB dijual KWSP akan mendapat keutamaan dalam mendapatkan kembali nilai pelaburan RM1.72 bilion itu.

Hakikatnya, masalah kewangan 1MDB telah menjadi satu risiko kewangan yang besar bukan sahaja kepada syarikat itu, malah kepada keseluruhan Perbendaharaan Negara. Oleh kerana banyak hutang-hutang 1MDB dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, sebarang kegagalan membayar hutang perlulah ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam keadaan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga rapuh, ada kemungkinan besar sekiranya 1MDB gagal, Kerajaan Persekutuan akan berunding dengan agensi-agensi kerajaan seperti KWAP, KWSP, Tabung Haji dan lain-lain untuk melengahkan pembayaran atau menggantikan pembayaran dengan aset bukan tunai untuk membantu aliran tunai Perbendaharaan Negara. Memandangkan KWAP, KWSP dan Tabung Haji adalah agensi Kerajaan, besar kemungkinan agensi-agensi ini terpaksa akur dengan permintaan Kerajaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, bukanlah mudah untuk mengutip hutang dari 1MDB apabila syarikat itu gagal seperti mana yang diwar-warkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Tambahan pula, hutang RM42 bilion oleh 1MDB itu berhadapan dengan risiko “cross default” (kegagalan berturut-turut membayar hutang apabila 1MDB gagal membayar satu hutang) yang boleh membawa kesan besar kepada sistem kewangan negara. Apabila ini terjadi, kepentingan Kerajaan Persekutuan ialah memulihkan sistem kewangan negara dan sebarang tuntutan oleh badan-badan kerajaan seperti KWAP, KWSP dan Tabung Haji akan dilengah-lengahkan.

Oleh itu, saya menggesa supaya KWAP, KWSP dan Tabung Haji dengan segera membuat keputusan melupuskan pegangan dan pelaburan di dalam 1MDB terutamanya di dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum. Dengan segala masalah yang dihadapi 1MDB yang telah menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, adalah lebih selamat sekiranya KWAP, KWSP dan Tabung Haji mengambil pendirian “mencegah lebih baik” (“prevention is better than cure”).

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.