Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Diluluskan Di Dewan Undangan Negeri Kelantan

19 MAC 2015

KEADILAN mengikuti dengan dekat perkembangan sehingga lulusnya pindaan-pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini. Sejak cadangan pindaan ini timbul lebih setahun lalu, KEADILAN telah duduk berbincang dengan pimpinan PAS dan Kerajaan Kelantan serta pimpinan DAP untuk mencari jalan terbaik kepada isu ini.

Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 17 Mac 2015 dan membincangkan dengan khusus pindaan-pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Muafakat Pakatan Rakyat

KEADILAN terikat dan menghormati keputusan bersama mengenai pelaksanaan hudud yang dicapai di dalam Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 seperti berikut:

1. Pelaksanaan hudud bukanlah agenda bersama Pakatan Rakyat

2. Walau bagaimana pun, parti-parti Pakatan Rakyat menghormati bahawa pelaksanaan hudud telah menjadi dasar perjuangan PAS dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 dibentangkan sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak munasabah bagi PAS menggugurkan pelaksanaan hudud daripada agendanya

3. Sebarang dasar atau pelaksanaan dasar yang melibatkan Pakatan Rakyat perlulah mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti

Keputusan bersama ini sering dirujuk sebagai “agree to disagree” mengambil kira Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 telah wujud sebelum Pakatan Rakyat.

Oleh sebab itu, apabila wakil Kerajaan Kelantan Datuk Nik Amar memaklumkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 bahawa rang undang-undang yang bakal dibentangkan hanyalah pindaan empat (4) perkara ke atas enakmen yang telah diluluskan dalam tahun 1993, KEADILAN mengambil sikap menghormati bahawa pindaan itu bukanlah undang-undang baru dan tidak mengubah status sedia ada. Oleh yang demikian, pindaan seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Nik Amar itu masih berada di dalam kerangka persetujuan bersama dan muafakat Pakatan Rakyat mengenai hudud yang dicapai dalam tahun 2011.

Walau bagaimana pun, KEADILAN tidak diberikan draf pindaan sehinggalah minggu lepas iaitu pada 12 Mac 2015 (seminggu sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri). Draf yang dibentangkan itu bukanlah pindaan empat (4) perkara seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Nik Amar tetapi merupakan pembentangan keseluruhan enakmen setebal 34 muka surat. Walaupun kandungannya tidak banyak berbeza dari enakmen asal tahun 1993, ia tidak lagi mematuhi muafakat bersama yang dipersetujui oleh Pakatan Rakyat dalam 2011 mengenai pelaksanaan hudud.

Oleh yang demikian, KEADILAN melahirkan rasa kesal kerana persetujuan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bertarikh 8 Februari 2015 tidak dihormati dan sekaligus bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai dalam tahun 2011 mengenai perkara ini.

Sedang KEADILAN menghormati hak dan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentangkan enakmen ini, adalah lebih afdal jika Kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat Pakatan Rakyat.

Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah

KEADILAN berpendirian bahawa setiap yang beragama Islam wajib menerima hukum hudud kerana Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW telah menetapkan hukuman-hukuman bagi enam salah laku iaitu sariqah (mencuri), hirabah (rompakan bersenjata), zina (persetubuhan di luar perkahwinan), qazaf (tuduhan palsu mengenai kemuliaan seseorang), syurb (meminum arak) dan riddah (murtad).

Pada masa yang sama, KEADILAN juga percaya bahawa rakyat Malaysia boleh membezakan di antara penerimaan ketetapan hudud terhadap enam kesalahan tersebut dengan kaedah melaksanakan ketetapan hudud itu di dalam sesebuah masyarakat. Sementara setiap yang beragama Islam wajib menerima ketetapan hukuman hudud, kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hukuman hudud itu dalam konteks sistem undang-undang dan suasana sesebuah masyarakat boleh dibincangkan.

Malah, peraturan dan kaedah dalam melaksanakan hukuman hudud seperti yang biasa diutarakan sekarang adalah hasil dari perbincangan ulama dan ilmuwan selama beribu tahun yang kini membentuk pengetahuan kita mengenai kaedah mengkanunkan hukuman hudud. Oleh sebab itu, KEADILAN berharap perbezaan pendapat mengenai kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hudud tidak disalahertikan seolah-olah menolak ketetapan hukuman hudud.

KEADILAN mengambil pendirian bahawa syariat Islam merangkumi kesemua ruang hidup dan bermasyarakat. Selain dari hukuman hudud ke atas enam kesalahan di atas, syariat Islam turut meliputi persoalan perkerajaanan, diplomatik, tatacara ekonomi, hubungan dengan bukan Islam dan perkara muamalah lain-lain. Makanya, kanun hudud seperti yang diterjemahkan ke dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada hari ini adalah sebahagian dari syariat besar Islam.

Oleh sebab itulah, KEADILAN berbeza pandangan mengenai keutamaan yang perlu didahulukan dalam melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh ini. KEADILAN percaya bahawa memutuskan keutamaan masyarakat adalah sebahagian dari pertimbangan fiqh al-awlawiyyat (keutamaan amalan/dasar) yang boleh dibincangkan di dalam sesebuah masyarakat. Dalam perkembangan mutakhir, KEADILAN meletakkan keutamaan kepada memperbetulkan ketidakadilan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanakan undang-undang hudud ke atas enam kesalahan tadi mengikut kaedah fiqh al-awlawiyyat.

Ini bukanlah bermakna KEADILAN menolak ketetapan Allah SWT di dalam enam kesalahan mengikut hudud seperti yang sering dipolitikkan. Sebaliknya, KEADILAN percaya perjuangan memperbetulkan ketidakadilan dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat lebih utama dalam menyelesaikan maslahat ummah sekarang terutamanya dengan berlatar belakangkan masalah kebajikan rakyat selepas musibah banjir, tekanan hidup terhadap rakyat akibat rasuah dan salahguna kuasa pemerintah terhadap rakyat.

Pendirian sebegini juga dipegang oleh gerakan-gerakan Islam ternama di dunia termasuk Parti Kemajuan dan Keadilan (AKP) di Turki yang dipimpin Presiden Tayyeb Erdogan dan Parti An-Nahdah di Tunisia yang dipimpin pemikir Islam ternama Sheikh Rashid al-Ghannouchi. Malah, pendirian bahawa pelaksanaan hudud bukanlah keutamaan utama dalam masyarakat juga merupakan pendirian yang diambil oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

KEADILAN percaya bahawa penekanan perlu diberikan untuk meninggikan kefahaman rakyat kepada matlamat undang-undang Islam dilaksanakan seperti yang dituntut di dalam maqasid syariah. KEADILAN akan terus berpegang dan berpandukan kepada maqasid syariah dalam membuat pendirian mengenai dasar-dasar yang melibatkan rakyat.

Oleh yang demikian, mengambil kira pertimbangan-pertimbangan ini, KEADILAN mengambil pendirian yang berbeza mengenai keutamaan melaksanakan hukuman hudud seperti yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini. Oleh itu, KEADILAN telah mengarahkan calon tunggal KEADILAN di Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk tidak menyertai perbahasan dan pengundian bersabit Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan pada hari ini.

Muslihat Umno

KEADILAN menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, kesejahteraan dan kemuliaan insan supaya tidak mudah tertipu dengan muslihat Umno yang mempolitikkan pelaksanaan hukum hudud untuk memecah belahkan perpaduan rakyat menentang Umno.

Perbezaan pendapat mengenai fiqh al-awlawiyyat melaksanakan hukuman hudud ini akan diputar belitkan seolah-olah mereka yang meletakkan keutamaan tuntutan syariat Islam manakala yang lain menolak hukum Allah SWT.

Jika benar Umno benar-benar ikhlas dan bersedia untuk melaksanakan hukuman hudud, sudah tentu Kerajaan Negeri Terengganulah yang memulakan langkah dan disambut oleh Kerajaan Persekutuan di peringkat Parlimen. Keengganan Umno selama ini adalah bukti bahawa Umno hanya berminat mempolitikkan hudud di saat nyawanya di hujung tanduk.

KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia kembali fokus kepada usaha menukar kerajaan persekutuan agar kepentingan rakyat dalam semua aspek dapat diperjuangkan.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YAB Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

YB Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN

YB Shamsul Iskandar Md Akin
Naib Presiden KEADILAN

YB Rafizi Ramli
Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden KEADILAN

2 thoughts on “Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Diluluskan Di Dewan Undangan Negeri Kelantan”

  1. apa pun umat Islam wajib menyokong hudud . Mahu tak mahu Hudud mesti dilaksanakan sebab umat Islam sedang dihancurkan dengan pelbagai jenayah yang akhir nya akan merugikan umat islam sendiri. Ingatlah Alloh lebih bijaksana.

  2. Kenapa perlu tunggu kerajaan Terenganu yg melaksanakan dulu? Dimana letaknya demokrasi dalam pakatan bila majority dun Kelantan menyokongnya? Apa statistics yg menunjukkan rasuah telah merosot bila pakatan ditubuhkan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.