Kegagalan Membayar Hutang: Menteri Kewangan, Lembaga Pengarah 1MDB Perlu Letak Jawatan

26 FEBRUARI 2015

Pengurusan 1MDB akhirnya mengakui bahawa syarikat milik penuh kerajaan itu tidak akan mampu melunaskan tanggungjawab khidmat hutangnya (“debt servicing”) kerana pendapatan dari pelaburan yang dibuat setakat ini tidak mencukupi berbanding dengan bayaran faedah dan kupon bon yang perlu dibayar setiap tahun.

Dalam kenyataan minggu lepas, 1MDB mengakui bahawa ia terpaksa bergantung kepada suntikan dana baru dari kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion untuk melunaskan tanggungjawab khidmat hutang itu. 1MDB juga terpaksa menjual aset-asetnya melalui satu proses rasionalisasi operasi seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya minggu lalu.

Awal tahun ini, 1MDB berhadapan dengan masalah untuk membayar hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang akhirnya diselesaikan dalam keadaan misteri. Pendedahan saya sama ada 1MDB menggunakan dana kerajaan melalui penerbitan bil perbendaharaan (“treasury bill”) yang terbesar dibuat oleh kerajaan sebanyak RM2.1 bilion sehingga kini tidak dinafikan.

Saya juga telah mendedahkan pada 2 Februari 2015 bahawa 1MDB juga mempunyai satu lagi hutang jangka pendek sebanyak RM3.6 bilion kepada 6 bank yang diketuai oleh Deutsche Bank. Hutang tersebut perlu dibayar menjelang September 2015. Ketika 1MDB mengambil hutang ini di tengah-tengah kontroversinya meletup tahun lalu, ia menyandarkan hutang RM3.6 bilion ini kepada dana baru yang bakal diperolehi dari pasaran saham melalui penyenaraian anak syarikat IPPnya.

Kini dengan pembatalan penyenaraian tersebut, sudah tentu 1MDB akan berhadapan masalah untuk melangsaikan hutang RM3.6 bilion ini menjelang tarikh matang September 2015.

Oleh yang demikian, kegagalan 1MDB sudah ternyata dan tidak boleh disembunyikan lagi. Pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan dan keputusan 1MDB wajarlah meletakkan jawatan sebelum kerajaan bersetuju untuk menyuntik RM3 bilion tambahan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Saya akan memfailkan usul di dalam sidang Parlimen akan datang supaya tidak ada sebarang suntikan dana baru ke dalam 1MDB sehinggalah ada pertanggungjawaban (“accountability”) di atas kegagalan 1MDB seperti berikut:

1. Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu mengosongkan jawatan Menteri Kewangan serta merta agar seorang Menteri Kewangan sepenuh masa boleh mengambil alih tugasan

2. Keseluruhan Lembaga Pengarah 1MDB perlu meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta

3. Setiap ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang meletakkan jawatan tidak dilantik ke mana-mana jawatan di dalam mana-mana anak syarikat atau agensi milik kerajaan untuk mengelakkan mereka dikitar semula

Usul itu juga akan mencadangkan supaya suntikan dana RM3 bilion ke dalam 1MDB oleh kerajaan perlu dibahaskan dalam satu sidang khas Parlimen.

Kegagalan 1MDB perlulah terus dibawa ke Parlimen agar ia tidak berulang dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.