Sistem Penetapan Harga Minyak Memangsakan Pengusaha Stesen Minyak

Sistem penetapan harga minyak yang dilaksanakan sekarang adalah berasal dari Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) yang mempunyai 4 komponen:

1) Kos petrol atau diesel
2) Kos operasi dan jaminan keuntungan kepada syarikat minyak
3) Kos operasi dan keuntungan pengusaha syarikat minyak
4) Subsidi atau cukai oleh kerajaan

Walau bagaimana pun, sejak keputusan kerajaan menghapuskan subsidi, mekanisme ini tidak lagi berjaya melindungi kebajikan pengusaha stesen minyak kerana tiadanya subsidi bermakna harga petrol dan diesel tidak lagi stabil dan kerap berubah-ubah.

Perubahan harga petrol dan diesel ini membawa risiko kerugian yang besar kepada pengusaha stesen minyak sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Jika pengusaha stesen minyak mengalami kerugian setiap bulan dalam beberapa bulan akan datang, saya bimbang ramai pengusaha stesen minyak tidak lagi boleh beroperasi.

Di bawah sistem sekarang, pengusaha stesen minyak terdedah kepada kerugian apabila harga minyak turun sedangkan mereka membeli stok petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi. Syarikat minyak seperti PETRONAS, SHELL, PETRON dan BHP menetapkan setiap stesen minyak membeli stok minyak sekurang-kurangnya bersamaan jumlah jualan 3 hari petrol dan diesel pada satu-satu masa. Mereka perlu membayar harga stok ini pada harga pasaran ditolak dengan komisen (12 sen bagi petrol dan 7 sen bagi diesel) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

70% dari stesen minyak di Malaysia dianggarkan adalah stesen minyak bersaiz kecil atau sederhana yang purata jualan bulanan adalah di bawah 500,000 liter sebulan. Berdasarkan komisen petrol dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan, pendapatan bulanan setiap stesen minyak ini adalah di antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.

Daripada jumlah ini, pengusaha stesen minyak perlu membayar kos seperti berikut:

1) Eletrik dan utiliti yang lain
2) Sewa stesen minyak kepada syarikat minyak
3) Caj perkhidmatan, caj kredit kad dan lain-lain
4) Gaji pekerja

Setelah ditolak kos-kos ini, keuntungan bersih purata pengusaha stesen minyak ini setiap bulan adalah di antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Mereka juga perlu menyediakan simpanan tunai yang besar untuk membeli stok minyak bersamaan sekurang-kurangnya jumlah jualan tiga hari. Bagi 70% stesen minyak di Malaysia, jumlah stok ini adalah sekitar 50,000 hingga 70,000 liter setiap satu masa. Oleh itu, bagi stok di hujung bulan Disember, mereka terpaksa membayar sekitar RM100,000 hingga RM150,000 secara tunai (iaitu 50,000 liter X (RM2.26 – RM0.12)).

Apabila harga minyak diturunkan pada 1 Januari 2015, secara automatik mereka kerugian di antara RM10,000 hingga RM15,000 kerana stok minyak yang dibeli pada harga yang lebih tinggi hanya boleh dijual pada harga RM1.91 seliter. Oleh itu, dengan serta merta setiap pengusaha minyak rugi 35 sen setiap liter pada 1 Januari 2015.

Dalam keadaan purata untung bersih pengusaha stesen minyak seperti ini bagi setiap bulan hanyalah sekitar RM5,000 hingga RM10,000, kerugian serta merta dalam satu hari akibat kerugian inventori sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 seperti ini bermakna mereka akan menanggung rugi bersih sepanjang bulan itu. Jika ini berterusan, ada risiko banyak pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar.

Sebab itu saya mengecam tindakan Barisan Nasional yang membuat keputusan secara tergopoh-gapah menghapuskan subsidi tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat dan pihak-pihak lain. Selain mendedahkan rakyat kepada harga minyak yang lebih tinggi, tindakan itu juga memangsakan pengusaha stesen minyak yang dibiarkan menanggung kerugian.

Saya juga kesal dengan kenyataan-kenyataan bongkak yang dibuat pemimpin Umno seperti Tan Sri Ali Rustam, Pengerusi PUNB yang mencabar pengusaha stesen minyak menyerahkan operasi stesen minyak jika tidak mampu menjana keuntungan. Beliau jelas tidak faham mekanisme operasi dan kewangan stesen minyak. Beliau juga lupa bahawa sebahagian besar pengusaha stesen minyak adalah usahawan Bumiputra yang kononnya dibela oleh Umno.

Saya tegas mahukan harga minyak termurah yang adil bagi rakyat. Saya juga mahukan satu sistem harga yang adil kepada pengusaha stesen minyak dan menjamin kestabilan bekalan petrol dan diesel kepada rakyat di seluruh negara.

Sistem sekarang yang diputuskan secara tergopoh gapah terbukti merugikan rakyat dan pengusaha stesen minyak. Saya menunggu jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Dato’ Hassan Malek kerana jelas kementerian beliau tidak membuat kajian mendalam sebelum memutuskan untuk melaksana sistem sedia ada.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

7 Januari 2015

 

One thought on “Sistem Penetapan Harga Minyak Memangsakan Pengusaha Stesen Minyak”

  1. Sistem tersendiri yang hanya mengukur kira kepentingan kroninya. Sistem kewangan dan ekonomi kucar kacir sehinggakan pengasasnya itu pun tidak faham agaknya bagaimana ia dicampur tolak, darab bahagi untuk persamaannya.
    Adakah disebabkan “Rasuah”? Permulaannya mengaibkan sistemnya itu , disusuli dengan kegiatan melampaui “Rasuah” yang masih tercari ayat yang sepadan dengan kegiatan tersebut. Menteri Kewangan Pertama yang langsung tidak tahu asas ekonomi dan terakhir yang bakal mengaibkan dirinya bersama kerajaan rampasannya sama sekali. Mengapa berkata demikian? Padat dengan perbuatannya yang dikaji secara sendirian , cara pengurusan kewangannya lebih gimik kepada meraknapkan ekonomi sedia ada. Kalau diteruskan olehnya amat cepat kami semua dikurniakan sebuah negera yang bangkrap. Bayangkanlah cara pengendaliannya adalah melihat carta kewangan catitan harian menjunam dengan cepat dan pantas. Selain daripada carta jenis begini saya tidak nampak carta hariannya yang berlainan dari jenis seperti ini dengan keputusannya pretasinya di bidang kewangan selama ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.