Masalah Aliran Tunai 1MDB Melewatkan Projek Penjana Bebas Jimah East

Laporan bahawa 1MDB telah gagal sekali lagi untuk membayar hutang berjumlah RM2 bilion mengikut jadual pembayaran mengesahkan bahawa syarikat bermasalah itu berhadapan dengan masalah aliran tunai.

Keadaan ini menyulitkan lagi kedudukan kewangan 1MDB yang memberi kesan kepada keupayaannya melaksanakan kontrak-kontrak yang telah dianugerahkan kepadanya. Salah satu kontrak tersebut ialah pembinaan stesen janakuasa Jimah Timur dengan kapasiti 2,000MW (dua stesen setiap satu 1000MW) yang telah mengundang kontroversi sebelum ini.

Perjanjian jualbeli tenaga (PPA) di antara TNB dan 1MDB melalui stesen janakuasa Jimah Timur ini adalah salah satu strategi terpenting yang bakal menentukan sama ada kedudukan kewangan 1MDB terus menjunam. Stesen janakuasa Jimah Timur ini dilihat sebagai asset berharga di antara stesen-stesen janakuasa tenaga sedia ada yang dibeli 1MDB sebelum ini yang diharapkan dapat menarik minat pelabur membeli saham kumpulan tenaga 1MDB apabila disenaraikan di bursa kelak.

1MDB memerlukan suntikan kewangan dari penyenaraiaan aset-aset penjana bebasnya untuk mengimbangi hutangnya yang tinggi dan telah mencecah RM42 bilion setakat 2014.

Oleh itu, kelewatan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah Timur dijangka akan melewatkan proses penyenaraian anak syarikat 1MDB di bursa dan melemahkan lagi kedudukan kewangannya.

Saya boleh mengesahkan bahawa 1MDB melalui anak syarikatnya Jimah East Power Sdn Bhd telah memohon secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menangguhkan lagi jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah East yang akan membawa kesan kewangan besar kepada 1MDB dan rakyat Malaysia.

Saya dibekalkan dengan maklumat yang telah saya sahkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Disember 2014 di antara Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB (yang diwakili Jimah East Power Sdn Bhd) mengenai kelewatan ini.

Di dalam mesyuarat tersebut, 1MDB telah memohon kepada Suruhanjaya Tenaga untuk diberi kelonggaran melewatkan lagi projek tersebut selama 6 bulan walaupun itu telah melanggar perjanjian jualbeli tenaga (PPA). Ini bermakna projek tersebut dijangka hanya boleh disiapkan pada 15 Mei 2019 berbanding tarikh yang ditetapkan perjanjian iaitu 15 November 2018.

Dengan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh 1MDB sekarang, saya ragu-ragu bahawa ia boleh menyiapkan stesen janakuasa Jimah Timur pada 15 Mei 2019.

Semakan dengan laporan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) bertarikh 10 Oktober 2014 (Pre-Sale Report: RM8.4 bilion Sukuk Murabahah Jimah East Power) khususnya mukasurat 5 mengenai tapak projek menjelaskan bahawa projek ini akan dibina di atas tanah paya dan kawasan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu. Saya sertakan gambar yang menunjukkan bahawa tapak projek stesen janakuasa Jimah Timur pada masa ini adalah kawasan paya dan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu.

Download (PDF, 224KB)

Download (PDF, 815KB)

Dalam keadaan 1MDB belum lagi mempunyai tapak projek yang ditebus guna dan masalah aliran tunai yang dihadapinya, ada kemungkinan projek Jimah Timur ini akan terus mengalami kelewatan. Ini akan melewatkan lagi proses penyenaraian aset-aset tenaga 1MDB yang sebelum ini disebut sebagai strategi penting meenyelamatkan 1MDB dari masalah kewangan yang kian meruncing.

Permohonan melewatkan projek Jimah Timur ini mengesahkan bukan sahaja 1MDB berhadapan dengan masalah aliran tunai, malah menunjukkan strategi yang diambilnya melalui penyenaraian juga masih gagal. Dalam keadaan ini, 1MDB akan terus berhutang untuk membayar bunga dan faedah (interest) di atas hutang-hutang sedia ada.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

7 Januari 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.