Hapuskan Permit Import (APs) Barang Makanan Untuk Menurunkan Harga Barang

Malaysia bergantung kepada import barang makanan yang mempunyai kesan besar kepada harga makanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Harga barang makanan import ini mempengaruhi harga barang makanan yang dikenakan oleh pengusaha restoran dan harga barang makanan yang dibeli oleh orang ramai bagi kegunaan di rumah.

Dalam jawapan di Parlimen dalam tahun 2013, Kementerian Pertanian mengakui bahawa bagi tempoh sepuluh tahun di antara 2002 hingga 2012, Malaysia membelanjakan RM221.81 bilion untuk mengimport makanan iaitu purata RM22 bilion setiap tahun. Jenis-jenis makanan yang diimport termasuk beras, gandum, gula, daging, hasil tenusu, koko, bijirin, sayuran, buah-buahan, makanan siap dan lain-lain.

Oleh yang demikian, harga barang makanan di negara ini banyak dipengaruhi oleh harga barang makanan import yang dibawa masuk. Harga barang makanan import pula dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu kawalan pasaran melalui permit import (approved permits) dan kadar tukaran matawang (selain dari turun naik harga barang makanan di pasaran dunia).

Ramai yang tidak memahami bahawa dasar Barisan Nasional yang mensyaratkan pengimportan barang makanan memerlukan permit import (AP) telah menaikkan harga barang seperti mana AP bagi kereta menyebabkan harga kereta mahal di negara ini. Permit import ini menyebabkan hanya orang dan syarikat tertentu sahaja yang boleh mengimport makanan dan menghasilkan monopoli yang boleh mengawal harga makanan tempatan.

Contoh AP makanan yang terbaik adalah AP gula dan AP beras yang kedua-duanya dikawal oleh kroni besar Umno, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Kedua-dua harga barang makanan ini dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar disebabkan AP gula dan beras yang diberikan oleh Barisan Nasional kepada beliau.

Rakyat perlu mengetahui bahawa pada ketika ini Barisan Nasional mensyaratkan bahawa 2,428 barang import perlu mendapatkan permit import (AP) yang menyebabkan hanya sesetengah syarikat sahaja yang mengawal pasaran. Selagi adanya permit import (AP) untuk membawa masuk makanan ini, selagi itulah harga barang makanan di Malaysia tidak boleh mengikuti harga pasaran.

Keadaan ini bertambah sukar sekarang dengan penurunan mendadak matawang ringgit yang menyebabkan harga barang makanan yang diimport menjadi lebih mahal. Jika tidak berhati-hati, kawalan pasaran oleh pemegang-pemegang permit import (AP) ini membolehkan mereka menaikkan harga dengan menggunakan alas an penurunan matawang ringgit.

Kedua-dua faktor ini (permit import dan kadar matawang) adalah kesan langsung dari dasar pentadbiran Barisan Nasional. Permit import dilaksanakan oleh Barisan Nasional yang mengkayakan beberapa orang kroni dan kadar matawangnyang menjunam adalah kelemahan pengurusan ekonomi negara di bawah Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya system permit import ini dimansuhkan untuk membolehkan barang makanan import dibawa masuk pada harga yang tidak dikawal oleh beberapa pihak sahaja. Saya juga mencabar supaya Barisan Nasional mendedahkan semua pemegang permit import (AP) makanan supaya rakyat dapat menilai siapakah sebenarnya yang mengawal pasaran makanan di negara ini.


MANIVANAN GOWIN
Pengerusi, Biro Kepenggunaan
Ahli Parlimen Kapar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.