Penghapusan Hutang Kerajaan Sebanyak RM876

Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini memasukkan dua urusan Kerajaan Persekutuan yang membawa kesan kewangan besar kepada rakyat. Urusan ini adalah dalam bentuk dua usul yang dibawa oleh Menteri Kewangan seperti berikut:

Usul Pertama:
Menteri Kewangan mencadangkan supaya hutang sebanyak RM400 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), sebuah syarikat dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan), ditukar dari hutang kepada ekuiti pada nilai yang sama.

Usul Kedua:
Menteri Kewangan mencadangkan supaya baki hutang sebanyak RM475.59 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), sebuah syarikat dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan), ditukar dari hutang kepada ekuiti pada nilai yang sama.

Ini bermakna sejumlah RM876 juta hutang anak-anak syarikat milik Kerajaan Persekutuan dihapuskan begitu sahaja dengan menukarnya kepada pegangan saham atau ekuiti. Akibat tindakan menukar hutang kepada ekuiti seperti ini, Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengutip hutang RM876 juta dari anak-anak syarikat ini sedangkan hutang awal yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada anak-anak syarikat ini tetap perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Lebih membimbangkan, tindakan menukar hutang kepada ekuiti ini membayangkan bahawa anak-anak syarikat ini tidak mampu untuk membayar hutang sehingga perlu diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Apabila anak-anak syarikat yang prestasi kewangannya tidak memberangsangkan hingga tidak boleh membayar hutang ini dimiliknegarakan terus dengan cara ini, tanggunggan hutang dan risiko kerugian akan datang kini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Operasi MDV adalah memberi pembiayaan kepada syarikat dan projek teknologi maklumat (IT) dalam bentuk hutang. Kegagalan membayar hutang RM400 juta ini bermakna ada ramai penerima pembiayaan dari kalangan syarikat dan korporat yang gagal membayar hutang dan hutang mereka dilupuskan begitu sahaja.

Keadaannya lebih teruk bagi Prasarana kerana kegagalannya membayar baki hutang sebanyak RM476 juta itu membayangkan operasi Prasarana yang mengendalikan pengangkutan awam di negara ini terus menerus mengalami kerugian.

Oleh itu, saya mengecam tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang selalu menyembunyikan penghapusan hutang besar negara ini melalui cara menukar hutang kepada ekuiti. Perkara yang sama berlaku dengan anak syarikat 1MDB iaitu SRC International yang telah dipindahmilikkan kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dengan tanggungan hutang RM4 bilion yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Dalam keadaan peminjam hutang kecil PTPTN dikejar, subsidi dihapuskan dan rakyat terus dibebankan dengan kos sara hidup, tindakan menghapuskan hutang secara sembunyi seperti ini benar-benar mencabar kesabaran rakyat.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

24 November 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.