Kenyataan Dr Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Adalah Bersifat Perkauman & Mengkhianati PR

Saya sedih dan kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang AJK PAS Pusat dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) iaitu Dr Zuhdi Marzuki yang telah bocor kepada umum. Selepas komunikasi whatsapp dia itu bocor kepada umum, dia sedikit pun tidak menafikan menulis mesej itu malah cuba memberi pelbagai alasan.

Tidak kiralah apa alasan yang diberikan oleh Dr Zuhdi, kenyataan-kenyataan beliau yang berikut seperti di dalam komunikasi whatsapp tidak boleh dinafikan lagi:

1. Dia mempertimbangkan untuk PAS keluar Pakatan Rakyat dan bersama-sama Umno dengan menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim. Malah, beliau mempertimbangkan juga supaya seorang ADUN KEADILAN melompat bersama-sama PAS keluar Pakatan Rakyat untuk bergabung dengan Umno demi mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

2. Dia menyatakan perancangan bagaimana menggunakan kuasa di Selangor hasil dari penggabungan dengan Umno dan PAS itu untuk menekan bukan Melayu. Ayat yang digunakan olehnya bukanlah ayat yang membicarakan kemungkinan (atau senario), tetapi melambangkan sentimen kebencian dan semangat perkaumannya. Dia juga secara tidak langsung menyatakan persetujuan kepada tindakan-tindakan yang diambil JAIS terhadap penganut agama lain setakat ini.

3. Dia menyatakan perancangan bagaimana menggunakan kuasa di Selangor hasil dari penggabungan dengan Umno dan PAS itu untuk mengubah persempadanan pilihanraya agar berat sebelah dan mengenepikan orang bukan Melayu. Ini satu pengkhianatan besar kepada perjuangan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih yang dibawa oleh rakyat, BERSIH, Pakatan Rakyat dan PAS selama ini.

Jelas bahawa pandangan, cadangan dan pertimbangan Dr Zuhdi ini melanggar pelbagai dasar, ketetapan dan perjanjian yang dibuat oleh PAS – baik secara dalaman atau dengan rakan-rakan politik dan NGO lain – seperti berikut:

1. Bercanggah dengan ketetapan muktamar yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno walaupun ada pimpinan PAS yang membawa senario itu

2. Bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menjunjung keadilan untuk semua kaum dan menolak perkauman sempit

3. Bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Buku Jingga Pakatan Rakyat yang menggariskan langkah-langkah dasar memberi keadilan kepada semua dan membawa reformasi pilihanraya yang bersih

4. Bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Manifesto Rakyat Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang memberi gambaran jelas komitmen kepada keadilan untuk semua dan pilihanraya yang bersih dan adil

5. Bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani piagam bersama BERSIH2.0 yang memperjuangkan pilihanraya adil yang bersih

Perbezaan pendapat memang dibenarkan di dalam mana-mana organisasi. Namun, pendapat dan sentimen yang dizahirkan oleh seorang Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS ini yang lebih biasa kita dengar dari PERKASA dan ISMA memberi gambaran bahawa masih ada unsur-unsur yang khianat kepada prinsip Pakatan Rakyat di dalam pucuk pimpinan PAS walaupun PAS mendapat laba besar dari kebersamaan di dalam Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, saya memohon supaya Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS menyatakan pendirian PAS berkenaan perkara ini seperti berikut:

1. Apakah tindakan disiplin ke atas Dr Zuhdi Marzuki yang akan diambil oleh PAS apabila mengutarakan cadangan yang khianat kepada perjanjian yang PAS meterai dengan Pakatan Rakyat dan rakyat yang mengundi PAS/Pakatan Rakyat?

2. Berapa ramai lagi dari kalangan pimpinan pusat PAS yang berpandangan perkauman dan anti demokrasi seperti ini supaya kita tahu pendirian mereka, bukannya bermuka-muka di depan dan mengutarakan cadangan yang khianat kepada Pakatan Rakyat dalam perbincangan tertutup seperti Dr Zuhdi Marzuki ini?

Saya yakin selama ini bahawa kebersamaan PAS di dalam Pakatan Rakyat yang membawa pendekatan melalui dakwah kepada orang bukan Islam telah banyak membantu meningkatkan syiar Islam. Pendekatan itu melunakkan pandangan banyak orang bukan Islam yang melihat keadilan kepada semua yang dibawa oleh Islam melalui Pakatan Rakyat, selaras dengan sifat Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam (rahmatan lil ‘aalamin).

Kenyataan perkauman songsang yang dibawa oleh pimpinan PAS seperti Dr Zuhdi telah merosakkan pandangan bukan Islam terhadap mesej Islam membawa rahmat ke seluruh alam yang dibawa PAS sendiri.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Pengarah Strategi

29 Julai 2014

2 thoughts on “Kenyataan Dr Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Adalah Bersifat Perkauman & Mengkhianati PR”

  1. Rafizi, u should ask urself, adakah pkr tidak membelakangkan PR selama ini?
    Segala keputusan uoll buat sendiri tanpa mesyuarat dgn pimpinan tertinggi PAS dan DAP

  2. Sngat penting dlm situasi skrng, smua pimpinan utama PKR dan juga DAP, menunjukkan muafakat dan solidariti bersama utk memberikan tekanan kpd pimpinan utama PAS ygmenjadi duri dlm daging dlm kerjasama dan muafakat Pakatan Rakyat. Sudah smpai masanya utk PAS yg teryata mendapat banyak manfaat politik hasil kerjasama dlm Pakatan Rakyat, menyatakan sikap dan pendirian secara terbuka terhadap sikap beberapa pimpinan utama nya yg bertindak diluar garis sempadan adat, nilai, budaya dan disiplin berorganisasi dlm Pakatan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.