Penasihat Pendidikan Dan Latihan JPA Di Australia Tertakluk Kepada Undang-Undang Australia

Berikut adalah pengalaman dan kenyataan saya berkaitan tindakan kerajaan untuk mengenakan hukuman ke atas sdr Aslam Abdul Jalil, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Australian National University (ANU) kerana telah mengambil bahagian dalam satu forum baru-baru ini.

Pada Oktober 2013, saya telah dijemput oleh sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia di ANU untuk mengadakan pertemuan di universiti tersebut bagi membincangkan isu semasa Malaysia terutamanya Laporan Ketua Audit 2012 sebagai wakil daripada National Oversight & Whistleblowers (NOW).

Saudara Aslam yang hadir ke pertemuan tersebut telah menerima surat tunjuk sebab daripada Encik Shahrezan Md Sheriff, Penasihat Pendidikan dan Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Australia yang sekarang ini sekali lagi ingin mengambil tindakan terhadap Sdr Aslam. Saya sertakan salinan surat melalui emel bertarikh 1 November 2013 dan 6 November 2013 yang jelas menunjukkan intimidasi oleh En Shahrezan.

Download (PDF, 109KB)

Sekatan hak bersuara ini jelas menunjukkan sikap double standard kerajaan yang membenarkan kelab-kelab UMNO Luar Negara menjalankan aktiviti-aktiviti sedangkan pertemuan diskusi dan perbincangan pelajar-pelajar Malaysia luar negara secara terbuka disekat dan dikenakan tindakan. Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin seharusnya mempunyai kesediaan politik (political will) untuk mendesak kerajaan mengotakan janji transformasi demi memberi kebebasan kepada pelajar hak bersuara dan berpolitik.

Tindakan kerajaan menyekat kebebasan pelajar Malaysia di luar negara untuk menyertai diskusi dan perbincangan terbuka juga tertakluk dari sudut undang-undang negara Australia yang menjamin kebebasan bersuara dan memberi pandangan.

Saya percaya Encik Shahrezan memegang Visa Australia (pas bekerja) bagi membolehkan beliau berkhidmat di Australia. Mengikut Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Kerajaan Australia, seseorang warga asing yang memegang Visa pas berkerja wajib memenuhi semua syarat visa dan mematuhi undang-undang Australia.

Terdapat dua jenis undang-undang yang menjamin hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan iaitu Perlembagaan Australia (Constitutional Law) dan juga International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) iaitu Perkara 19 dan Perkara 20 (rujuk lampiran) – setiap orang mempunyai hak untuk mengutarakan pendapat tanpa sebarang tekanan/gangguan.

visa

visa2

Walaupun Saudara Shahrezan berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, keghairahan beliau untuk menyekat hak kebebasan bersuara pelajar Malaysia di Australia sebenarnya tertakluk kepada undang-undang Australia. Beliau berkemungkinan boleh disiasat sekiranya ada pihak yang melaporkan tindakan beliau ke pihak berkuasa Australia.

Saya menyeru kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang menerima ugutan dan tekanan daripada pihak tertentu termasuk daripada pegawai terhadap hak kebebasan bersuara untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa negara berkenaan bagi memastikan hak mereka terjamin.

AKMAL NASIR
Ketua Cabang KEADILAN Johor Bahru

25 Jun 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.