Mustahil Barisan Nasional Belum Memutuskan Mengenakan GST Ke Atas Petrol Dan Diesel

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata Barisan Nasional masih belum memutuskan sama ada mengenakan GST atau tidak ke atas petrol dan diesel. Beliau membayangkan perkara itu hanya akan diumumkan bersama-sama keputusan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel yang dijadualkan September ini.

Saya telah menunjukkan bagaimana kutipan GST dari petrol dan diesel ini sekurang-kurangnya akan mencecah RM3 bilion setiap tahun, berdasarkan jumlah penggunaan petrol dan diesel tahunan. Jawapan-jawapan kerajaan di Dewan Rakyat setakat ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional mensasarkan kutipan di antara RM21 bilion hingga RM26 bilion setahu apabila GST dilaksanakan kelak.

Ini bermakna kutipan GST dari petrol dan diesel adalah di antara 12% hingga 14% dari jumlah kutipan tahunan yang disasarkan oleh Barisan Nasional. Saya berpendapat kutipan pada 12% hingga 14% dari jumlah keseluruhan GST menjadikan kutipan GST dari petrol dan diesel adalah kutipan paling besar berbanding dengan barang dan perkhidmatan lain.

Sebab itu, saya merasakan mustahil Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kabinet beliau tidak mengambil kira kesan kepada kutipan jika GST dilaksanakan tanpa dikenakan ke atas petrol dan diesel kerana itu mungkin menyebabkan kutipan yang tidak mencukupi bagi menampung defisit belanjawan.

Telahan saya ialah Dato’ Seri Najib ingin mengelakkan bantahan awal daripada rakyat dan mengumumkan GST ke atas petrol dan diesel ini bersama-sama pengumuman rombakan subsidi petrol dan diesel yang dirancang secara senyap-senyap.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk menyedarkan rakyat bahawa Barisan Nasional merancang untuk mengenakan GST ke atas petrol dan diesel bersama-sama dengan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel yang akan diumumkan dalam beberapa bulan lagi.

Tindakan ini akan menaikkan beban kos bahan api kepada rakyat dan memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang yang sudah pun menyusahkan rakyat.

Saya berpendapat bahawa salah satu cara mengekang inflasi daripada melonjak apabila GST dilaksanakan ialah dengan mengenakan kadar sifar ke atas bahan api utama yang digunakan rakyat seperti petrol, diesel dan elektrik.

Pendirian saya juga adalah tegas bahawa sebarang rombakan sistem subsidi petrol dan diesel hanya boleh dilaksanakan selepas pelbagai perjanjian berat sebelah yang membebankan rakyat dan ketirisan perbelanjaan negara dihentikan dahulu kerana ini akan menyumbang merendahkan kos sara hidup rakyat. Selepas itu, barulah usaha merombak sistem subsidi boleh dikaji dengan lebih mendalam untuk dilaksanakan.

Keengganan Barisan Nasional mengesahkan sama ada GST akan dikenakan ke atas petrol dan diesel sebenarnya meyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional merancang untuk menaikkan harga petrol dan diesel melalui cukai GST dan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

11 Jun 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.