MOSTI Sahkan Anak-Anak Syarikat NSE Resources Pernah Mendapat Geran

Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) sebelum ini bertegas tidak pernah memberi apa-apa geran kepada syarikat NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd (“NSE”) yang sebelum ini saya kaitkan dengan kelulusan dana RM100 juta di bawah MOSTI.

Malah, Timbalan Menteri MOSTI Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah pada 23 April 2014 dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata:

1. MOSTI tidak pernah menerima sebarang permohonan geran dari NSE
2. Geran maksima yang diberikan oleh MOSTI adalah RM3 juta kecualilah ia projek yang diusahakan anak-anak syarikat MOSTI sendiri

Saya telah mendapat tahu bahawa geran-geran yang diberikan kepada NSE sebelum ini ialah melalui syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya iaitu Global Network Technology Sdn Bhd dan NSE Pomar Sdn Bhd.

Saya telah mengajukan soalan untuk mendapatkan pengesahan dari MOSTI sama ada MOSTI atau mana-mana agensi di bawahnya pernah memberikan apa-apa geran kepada kedua-dua syarikat ini.

Download (PDF, 517KB)

Download (PDF, 648KB)

Jawapan MOSTI yang bertarikh 16 Jun 2014 dilampirkan yang jelas menunjukkan bahawa MOSTI sendiri mengakui ia pernah memberi geran-geran berjumlah RM14.19 juta kepada kedua-dua syarikat ini. Malah, kedua-dua syarikat berkaitan dengan NSE ini telah gagal menyempurnakan projek dan projek telah ditamatkan.

Lebih dari itu, jawapan MOSTI sendiri bertentangan dengan kenyataan awal Timbalan Menteri bahawa dana maksimum adalah RM3 juta bagi setiap projek. Dana yang diberikan kepada Global Network Technology Sdn Bhd adalah RM5.995 juta untuk satu projek dan RM3.733 juta untuk projek kedua; sementara dana kepada NSE Pomar Sdn Bhd adalah R4.463 juta.

Saya tidak pasti sama ada Timbalan Menteri MOSTI tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai geran-geran yang diberikan oleh kementerian beliau atau beliau cuba menyembunyikan maklumat dari orang awam mengenai keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh syarikat-syarikat yang sering mendapat geran dari MOSTI seperti NSE ini (atau anak-anak syarikatnya).

Sebab itu penafian kosong yang dibuat oleh MOSTI pada hari Khamis, 12 Jun 2014 tidak membawa apa-apa makna selagi Perdana Menteri dan Menteri MOSTI tidak membuat akuan bersumpah bahawa mereka tidak pernah menandatangani surat-surat bersabit kelulusan geran RM100 juta kepada NSE.

Download (PDF, 83KB)

Tanpa penafian dalam bentuk akuan bersumpah, surat dari Menteri MOSTI yang saya lampirkan bolehlah dikira benar, apatah lagi apabila Perdana Menteri dan Menteri MOSTI enggan menjawab soalan berkenaan kesahihan surat-surat itu di dalam Parlimen.

Saya yakin bahawa banyak lagi ketirisan dalam pentadbiran dan pemberian geran seperti ini yang berlaku yang belum didedahkan. Jika MOSTI dan Perdana Menteri terus mengamalkan pemberian geran yang besar sehingga mencecah ratusan juta ini kepada syarikat-syarikat tertentu, rakyatlah yang akan terus terbeban dengan pelbagai cukai baru dan lain-lain untuk menampung ketirisan ini.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

18 Jun 2014

One thought on “MOSTI Sahkan Anak-Anak Syarikat NSE Resources Pernah Mendapat Geran”

  1. Good job Rafizi! Continue the great work. The last thing we want is the GST collected is being used to finance the corrupt leaders.

    More importantly, I think efforts are needed to spread the wrong doings to the less informed rakyat. These things cannot continue if we want to see a prosperous Malaysia.

    Really proud of you!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.