KEADILAN Tubuh Panel Rayuan Pengajian Tinggi (PRPT) Bantu Pelajar Lepasan SPM/STPM

Proses kemasukan ke universiti bagi pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM sedang giat berjalan baik untuk institusi awam dan institusi swasta. Setiap tahun, tempoh masa di antara Mac hingga Jun adalah tempoh yang banyak mendatangkan suka duka kepada keluarga, ibu bapa dan pelajar di seluruh Malaysia.

Proses melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Malaysia tidak pernah lari dari kontroversi. Saban tahun, rakyat Malaysia dikejutkan dengan keluhan dan rayuan keluarga dan pelajar yang mendapat keputusan yang baik tetapi tidak mendapat peluang pendidikan tinggi yang dipohon.

Walaupun kebanyakan dari kes-kes yang selalu mendapat perhatian umum adalah bersabit kes pelajar cemerlang yang tidak diberikan biasiswa, sebenarnya banyak lagi kes-kes melibatkan keluarga miskin yang memerlukan pembelaan untuk mendapat peluang pendidikan tinggi.

Mengambil kira bahawa masalah ini adalah masalah yang berpanjangan, pimpinan muda di dalam KEADILAN mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu panel khas untuk meneliti sistem pemberian biasiswa dan reformasi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi. Selain itu, panel ini akan berusaha untuk membela kes-kes yang dibawa terutamanya yang melibatkan keluarga miskin untuk mendapatkan peluang pendidikan tinggi yang sewajarnya.

Panel ini yang dipanggil Panel Rayuan Pengajian Tinggi (PRPT) akan dianggotai oleh pimpinan muda dan sukarelawan dari seluruh negara dan memberi fokus kepada perkara berikut:

1. Meneliti permasalahan sistem pemberian biasiswa dan pengambilan ke institusi pengajian tinggi. PRPT berhasrat mengemukakan cadangan alternatif mengenai reformasi yang diperlukan kepada sistem pemberian biasiswa dan pengambilan ke IPT;

2. Meneliti dan membantu menghubungkan di antara keluarga dan pihak yang sewajarnya dalam kes-kes melibatkan pelajar miskin/cemerlang yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi;

3. Mengadakan latihan kerjaya selepas alam persekolahan kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah untuk mendidik mereka mengenai peluang pendidikan tinggi selepas sekolah

PRPT akan dianggotai oleh pimpinan seperti berikut:

1. YB Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru
2. YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Speaker DUN Selangor
3. YB Chang Li Kang, ADUN Teja
4. YB Lee Chean Chung, ADUN Semambu
5. YB Darell Leiking, Ahli Parlimen Penampang
6. YB Tan Kar Hing, ADUN Simpang Pulai
7. YB Simon Ooi, ADUN Bakar Arang
8. Saudara T Kumar, Timbalan Setiausaha Agong
9. YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan

PRPT akan mengumumkan dari semasa ke semasa kaedah untuk orang ramai membuat aduan kepada PRPT untuk dibawa ke pihak yang sewajarnya.

SIM TZE TZIN
Ahli Parlimen Bayan Baru

23 April 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.