Tindakan Halang Pimpinan KEADILAN Ke Sarawak Usaha Rencatkan Persediaan Pilihanraya

Seperti yang telah dilaporkan, saya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sejurus tiba semalam jam 620 petang untuk satu perjumpaan dengan pimpinan KEADILAN Sarawak. Saya terus dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen dan diberikan Notis Penolakan Masuk.

sarawakimigrese

Rujukan saya dengan pegawai kanan Jabatan Imigresen di situ mengesahkan bahawa saya telah disenaraihitamkan dari masuk ke Sarawak. Saya dimaklumkan bahawa saya tidak akan dibenarkan masuk ke Sarawak sampai bila-bila selagi nama saya masih berada di dalam senarai hitam yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak. Pegawai kanan Jabatan Imigresen itu juga memaklumkan bahawa ada beberapa pimpinan kanan KEADILAN lain yang turut disenaraihitamkan.

Saya juga dimaklumkan oleh pegawai kanan tersebut bahawa Jabatan Imigresen telah diberikan arahan keras untuk menguatkuasakan larangan masuk itu tanpa sebarang budi bicara.

Keterangan ini mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sarawak, Dato’ Seri Adenan Satem telah menyalahgunakan kuasanya untuk menyekat pimpinan KEADILAN untuk ke Sarawak bagi tujuan politik. Saya yakin bahawa sekatan ini ada kaitan dengan persediaan pilihanraya negeri yang dijangka akan dipanggil tahun depan dan persiapannya sedang giat dijalankan.

Tindakan menghalang saya dan pimpinan KEADILAN yang lain-lain benar-benar bertujuan untuk merencatkan persediaan pilihanraya KEADILAn Sarawak yang memerlukan sokongan dari semua pemimpin seluruh negara.

Saya akan mengambil tindakan mahkamah di Kuching dalam masa terdekat untuk mencabar salahguna kuasa ini di mahkamah. Saya juga akan meneliti Akta Imigresen sedia ada untuk dibawa ke Parlimen supaya ada mekanisme “check and balance” untuk mengelakkan ahli politik menyalahgunakan kuasa imigresen bagi tujuan menghalang lawan politiknya masuk ke Sarawak seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

22 April 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.