Serampang Kajang: Selangkah Ke Putrajaya

Saya sedar bahawa keputusan mengosongkan kerusi DUN Kajang perlu dijelaskan sebaiknya kepada rakyat. Saya juga mengingati pesan Dato’ Ambiga kepada saya supaya berterus terang dengan rakyat.

Mohon maaf

Maka sebaiknya saya perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia amnya dan pengundi Kajang khususnya atas perkara ini. Pilihanraya Kecil (PRK) ini sudah tentu akan membazirkan wang dan masa rakyat tatkala kita bersusah payah dengan kemelut harga barang naik.

Tidak ada alasan yang baik apabila wang rakyat dibazirkan kecualilah dengan memohon maaf. Parti saya juga perlu bersedia dan pasrah sekiranya pengundi Kajang mengambil pendirian menghukum kami.

Sebagai salah seorang yang paling kuat menyokong serampang politik ini, sejujurnya saya memikul tanggungjawab yang paling besar di atas keputusan tersebut.

Dinamik dalaman Umno, permainan perkauman dan agama

Namun, atas kejujuran kepada diri sendiri dan rakyatlah kita harus mengakui bahawa ada beberapa masalah dan cabaran di Selangor yang memerlukan campur tangan segera.

Pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang cemerlang selama enam tahun yang lepas memang membuatkan rakyat senang dengan beliau. Pun begitu, masih banyak ruang yang boleh dibaiki terutamanya mengambil kira dinamik dalaman Umno yang sedang berlaku.

Gerakan dalam Umno untuk memecat Dato’ Seri Najib Razak sudah bermula. Sebagai Pengarah Strategi parti, saya tidak menolak kemungkinan Dato’ Seri Najib dipecat dan kepimpinan Umno jatuh ke tangan puak ultra yang berkiblatkan Tun Mahathir Mohamad.

Permainan jahat melalui serangan bertalu-talu yang berkisar kepada isu agama dan perkauman untuk mengambil alih Selangor akan bermula sebaik sahaja Dato’ Seri Najib yang lemah itu dipecat oleh Umno. Setakat ini pun, jelas bahawa tangan-tangan Umno menjadi dalang kepada pelbagai kontroversi agama dan perkauman di Selangor sejak beberapa bulan lepas.

Sekiranya Dato’ Seri Najib tumbang, wajarlah kita bersedia untuk berdepan dengan manipulasi perkauman dan agama secara besar-besaran untuk mewujudkan kebencian dan rasa tidak percaya kepada kerajaan Selangor.

Negeri contoh model ke Putrajaya

Pada masa yang sama, walaupun pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim telah menjadi contoh dari segi amanahnya dan berjimatnya dalam menggunakan wang rakyat, kita juga perlu menerima hakikat bahawa ada perkara-perkara yang boleh ditambahbaik.

Kita perlukan penyelesaian radikal untuk menangani masalah trafik yang meruncing; lebih banyak rumah mampu milik perlu dibina segera. Perancangan depan yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memastikan kelangsungan khidmat bekalan air yang lebih baik di Selangor. Kita perlu lebih tegas mempertahankan hak kumpulan minoriti yang menjadi sasaran permainan politik Umno.

Sebagai Ahli Parlimen, saya yakin kita boleh tawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat terutamanya bersabit kebersihan dan persekitaran hidup rakyat. Kita mempunyai potensi menjadi negeri contoh yang mempunyai jalanraya yang terbaik di seluruh negara.

Maknanya, Selangor perlu tawarkan khidmat yang dua kali ganda lebih baik dari sekarang jika kita mahu menjadikannya negeri contoh dan model ke Putrajaya. Seperti mana Istanbul adalah loncatan Erdogan dan Jakarta bakal menjadi loncatan Jokowi, Selangor boleh menjadi loncatan Pakatan untuk mengambilalih Putrajaya.

Menguatkan kubu Pakatan di Selangor

Tugas membela rakyat dan melangkah ke Putrajaya belum selesai dan kini kita berdepan dengan satu lagi siri serangan adu domba dan permainan kotor Umno untuk merampas Selangor.

Justeru, walaupun tindakan membazirkan wang rakyat dengan memaksa satu PRK menimbulkan kemarahan rakyat, duduk menunggu serangan Umno tanpa berbuat apa-apa adalah satu pengabaian amanah rakyat yang dosanya lebih besar.

PKR dan Pakatan perlu menguatkan kubu kita di Selangor supaya kita boleh mempercepatkan pelaksanaan reformasi pro-rakyat dan pada masa yang sama mematahkan serangan politik dan adu domba Umno. Kita perlukan seberapa ramai pimpinan utama Pakatan di sekitar Selangor untuk mempertahankan negeri mahkota ini.

Atas dasar itulah keputusan untuk mencalonkan Dato’ Seri Anwar bertanding di kerusi Kajang dibuat bertujuan mewujudkan satu pilihan politik yang boleh dilaksanakan segera sekiranya ada keperluan.

Adakah ini bermakna kerajaan Selangor akan mendapat Menteri Besar baru? Mungkin ya, mungkin tidak. Persoalan itu tidak timbul sekarang. Tetapi jika keperluan itu timbul, Pakatan mempunyai pilihan segera untuk menggunakan keseluruhan tenaga pimpinan kita untuk melawan Umno.

Yang penting adalah mewujudkan pilihan itu terlebih dahulu. Adanya pilihan bermakna kita ada ruang untuk mengambil langkah politik yang menyekat permainan politik Umno, terutamanya yang bersabit isu perkauman dan agama.

Elakkan pengalaman Kedah

Saya tahu bahawa penerangan ini tidak akan berjaya memadamkan kemarahan rakyat pada ketika ini. Saya hanya memohon supaya kami diberikan masa untuk menerangkan rasional dan ruang untuk melakukan yang perlu demi kepentingan Pakatan di Selangor.

Saya juga perlu memohon maaf bagi pihak parti saya kerana perbezaan pendapat di kalangan kami sering merunsingkan rakyat. Kami sedang berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan perbezaan itu kerana melengahkan penyelesaian perbezaan dalaman akan mengheret kita mengulangi perkara sama di Kedah yang berakhir dengan kekalahan. Kami faham bahawa sebarang perbezaan dalaman perlulah diselesaikan segera kerana parti perlu utuh menghadapi Umno.

Serampang Kajang selangkah ke Putrajaya

Pemimpin yang baik tidak selalunya popular. Saya sayu melihat bagaimana nama baik Dato’ Seri Anwar Ibrahim terheret di dalam perkiraan ini dan menjadi sasaran kemarahan rakyat. Namun, kesanggupan beliau mengambil amanah ini walaupun pahit terus meyakinkan saya akan nilai pengorbanan beliau sebagai seorang pemimpin.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya meyakinkan diri saya bahawa Winston Churchill (Perdana Menteri Britain) juga terpaksa mengharungi kemarahan rakyat Britain apabila terus menggesa bermusuh dengan Nazi pada ketika sentimen popular adalah untuk berbaik dengan Nazi. Di kemuncak kuasa Nazi, Churchill berdiri keseorangan menentang Nazi pada ketika keseluruhan Eropah tunduk kepada Nazi.

Keyakinan untuk terus mempertahankan tindakan yang betul, walaupun dikritik hebat dan berdepan kemarahan umum, adalah ciri-ciri seorang pemimpin yang jujur.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan utama Pakatan yang memahami keputusan ini. Saya berterima kasih kepada rakan saya dalam kepimpinan pelapis Pakatan yang terus memberi sokongan moral dan politik untuk melaksanakan tindakan ini.

Saya harap satu hari kelak apabila kita di Putrajaya, kita boleh mengingati hari-hari sukar ini yang saya anggap “Serampang Kajang” sebagai loncatan terbaik melangkah ke Putrajaya.

Saya mungkin budak mentah dan ditertawakan atas kurangnya pengalaman bersilat politik, tetapi sekurang-kurangnya saya berlaku jujur dengan menerangkan perkara sebenarnya kepada rakyat.

Sama-sama kita melihat ke hadapan ke arah Putrajaya dengan semakin ukuhnya Pakatan Rakyat selepas PRK Kajang ini.

3 thoughts on “Serampang Kajang: Selangkah Ke Putrajaya”

  1. Thanks YB kerna jujur dalam tindakkan dan pertuturan.
    Penjelasan yg cukup mantap..InshaAllah kita berusaha dan pasti berjaya..May God Bless All of Us..& take care!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.