Penjualan Aset Negara: Kerajaan Tidak Menafikan Malah Cuba Memberi Alasan

Kenyataan rasmi Kementerian Kewangan mengenai kontroversi penjualan dan penggadaian aset negara untuk mencapai sasaran defisit tidak sedikit pun menafikan laporan Bank Dunia bahawa perkara-perkara berikut telah berlaku:

1. Kerajaan tidak akan mencapai sasaran defisit yang diumumkan jika pendapatan tambahan yang tidak dirancang di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM11.8 bilion diperolehi;
2. Kerajaan terpaksa menjual aset negara sebanyak RM1.4 bilion untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu;
3. Kerajaan terpaksa menggadaikan portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan sebanyak RM4.2 bilion melalui pensekuritian pinjaman perumahan (securitization of mortgages) untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu;

Sebaliknya, Kementerian Kewangan hanya memberikan alasan bahawa penjualan aset dan pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan adalah satu perkara biasa dan telah pun berlaku sebelum ini.

Kementerian Kewangan tidak boleh menafikan fakta-fakta yang dibentangkan Bank Dunia mengenai terdesaknya pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam mencapai sasaran defisit, terutamanya perkara-perkara berikut:

1. Setakat laporan Bank Dunia bertarikh Disember 2013, belanja mengurus Kerajaan Persekutuan telah melebihi belanjawan yang diluluskan sebanyak RM14.3 bilion atau 7.1%;
2. Pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2013 lebih teruk dari dijangkakan semasa unjurun Belanjawan 2013 dibuat;
3. Kedua-dua keadaan ini menyebabkan pendapatan berkurang dan defisit semakin teruk;
4. Maka, satu-satunya cara untuk mencapai sasaran defisit 4% yang telah diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi tahun 2013 ialah dengan menjual dan menggadai lebih banyak aset kerajaan (yang tidak dirancang dan diunjurkan semasa Belanjawan 2013 dibentangkan.

Oleh itu, jelas bahawa Kerajaan Persekutuan telah pun mengakui bahawa laporan Bank Dunia itu benar dan aset-aset negara telah dijual dan digadai untuk mendapat pendapatan tidak dirancang bagi mencapai sasaran defisit negara.

Saya juga khuatir jika kaedah pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan terus digunakan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan bermula dalam tahun 2004 dan dikendalikan oleh Cagamas iaitu syarikat pinjaman perumahan negara.

Pensekuritian melibatkan kerajaan menjual portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan kepada pelabur melalui penerbitan bon. Ini bermakna bahawa kakitangan kerajaan secara tidak langsung berhutang dengan pelabur-pelabur yang membeli bon yang diterbitkan melalui kaedah pensekuritian ini. Walaupun ia amalan yang telah dimulakan sejak tahun 2004, pensekuritian pinjaman perumahan menjadi salah satu punca krisis kewangan subprima yang melanda Amerika Syarikat dalam tahun 2007 dan 2008. Ia mempunyai risiko tersendiri kerana rumah-rumah yang dibeli peminjam digadaikan pula kepada pelabur yang mereka tidak ketahui.

Oleh itu, hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan menjual aset negara dan menggadaikan pinjaman perumahan kakitangan kerajaan melalui pensekuritian membuktikan terdesaknya pengurusan kewangan negara di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

26 DISEMBER 2013

One thought on “Penjualan Aset Negara: Kerajaan Tidak Menafikan Malah Cuba Memberi Alasan”

  1. YB Rafizi.. adakah penjualan bon ini merupakan sama seperti secondary mortgage yg dilakukan oleh Cagamas atau Ginnimae di US. Saya difahamkan kriisi subprima terjadi kerana bank2 di US memberi pinjaman kepada portfolio yg tidak berprestasi atau tidak layak memohon dgn jumlah sebenar pinjaman. Pinjaman kakitgan kerajaan difaham disaring oleh BPPP mengikut kelayakan . Pada pendapat saya , soal penjualan sekuriti kpd pelabur utk mendapatkan liquid tidak berkaitan dengan pembeli rumah kerana soal hak dan perjanjian telah termaktub didalam S & P dan ownership title (geran). Mohon YB beri penjelasan dan pencerahan ?

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.