Jangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta Selagi Cukai Eksais Kereta Tidak Dihapuskan

Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan apabila Datuk Abdul Aziz Kaprawi turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan “perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.

Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang. Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia. Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional menang (dengan tipu helah) dalam PRU13. Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak. Kini dengan cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun, ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.

Masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia yang pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung. Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain. Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus.

Akibatnya harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Oleh sebab itulah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif KEADILAN telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu. Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta. Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama.

Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan. Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

18 NOVEMBER 2013

5 thoughts on “Jangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta Selagi Cukai Eksais Kereta Tidak Dihapuskan”

  1. Semoga berjaya saudara rafizi..anda idola anak2 muda yg inginkan keadilan n bebas dr hutang yg semakin membelenggu rakyat n ekonomi yg semakin membebankan…

  2. 1st, license of ckd manufacturers must be revoked coz ada ramai yg tersembunyi di sebalik biznes ini.
    2nd, only cbu models must be made available onroad.
    3rd, show no support to oriental cars….how come oriental resale value (rv) is way better than continental cars?in msia, in which way can we compare a honda/toyota with a continental car?

    saya percaya dengan penguatkuasaan semua idea di atas akan membawa atau secara terpaksa membuka suatu bisniz automotif yang adil. kita sebagai penduduk msia akan dapat menggunakan pelbagai jenis kereta yang berteknologi.

    2013 dan masih ada lagi kereta automatik baru yg berkelajuan 4 gear. abs n airbag pula masih lagi dalam kategori pilihan. ciri2 keselamatan patut diwajibkan. kereta proton wira ekspot wajib dilengkapi airbag padahal utk kegunaan tempatan dikosongkan pula. tempat itu dicantikkan dgn kotak tisu.

  3. Sangat bersetuju dgn YB dan dasar yg dibawa oleh PR. Saya sendiri tak mampu untuk membeli kereta baru, buat loan pun tak lulus. Kereta lama saya yg berusia 23 tahun kini pun tak mampu saya nak perbaiki beberapa kerosakan spt penyaman udara & karburator. Dengan income yg tak menentu sekitar RM500-1500 sebulan, kadang ada kadang tiada, memang amat membebankan utk kos sara hidup di Subang Jaya, apa lagi utk menambah hutang membeli kereta baru. Utk pengetahuan YB, saya juga merupakan mangsa pengkhianatan kerajaan BN Terengganu tahun 2004 apabila kerajaan BN Terengganu menarik balik/membatalkan kerja saya sebagai PTN Trg N41 selepas mereka memenangi PRU 2004. Semoga PR terus berjuang dan berjaya membela nasib rakyat.

  4. Teruk dari pengganas sulu.. ! Alangkah teruknya.. ramai2 kita rakyat malaysia tidak termasuk rakyat malaysia y berprojekkan IC palsu membantah dengan sekeras kerasnya dengan tindakan terkutuk BN untuk menetapkan jangka hayat kereta !

  5. Lebih teruk dari pengganas sulu.
    Saya tidak rasa ada orang malaysia menyokong keputusan BN untuk menetapkan jangka hayat kereta. Kita pakat ramai2 untuk membantah secukupnya tindakan kejam BN menetapkan jangka hayat kereta untuk menyeksa rakyat.!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.