Kedudukan Universiti Negara Merosot, Kesan Besar Kepada Rakyat

Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi tahun 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:

Universiti

Kedudukan 2012

Kedudukan 2013

Universiti Malaya

156

167

Universiti Kebangsaan Malaysia

261

269=

Universiti Sains Malaysia

326

355=

Universiti Teknologi Malaysia

358

355=

Universiti Putra Malaysia

360

411-420

Universiti Islam Antarabangsa

401-450

501-550

Universiti Teknologi MARA

601+

701+

Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya daro tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:

1. Reputasi pencapaian akademik (40%)

2. Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)

3. Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)

4. Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)

5. Keantarabangsaan pelajar (5%)

6. Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)

Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdayasaing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan. Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr- Saunders. Pada tahun 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya (di Kuala Lumpur) dan NUS (di Singapura).

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:

1. Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan

2. Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia

3. Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya

4. Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan

5. Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia

Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

10 SEPTEMBER 2013

3 thoughts on “Kedudukan Universiti Negara Merosot, Kesan Besar Kepada Rakyat”

  1. Assalamualaikum..saya sgt menyokong pendirian dan saranan YB. Langkah mengambil tenaga pengajar dari luar untuk mengajar di universiti di malaysia adalah lebih relevan daripada mengambil guru2 bahasa inggeris di sekolah. Rasanya membudayakan bakal2 guru dengan bahasa inggeris adalah lebih baik daripada mengajar murid2 sekolah yang kadang2 tidak faham pun kenapa mereka perlu cemerlang dalam bahasa inggeris.
    Saya ibu kepada 4 orang anak yang semua masih bersekolah. Hanya lulusan SPM. Pergi ke universiti pun hanya untuk melawat saudara mara yang belajar di sana. Dengan kedudukan kewangan yang sekadar cukup makan, saya bergantung sepenuhnya pada sekolah (guru2) untuk mendidik anak2 saya sebagai bekalan untuk masa depan mereka. Namun banyak sekali cerita anak2 saya mengenai budaya kurang intelek di kalangan guru yang membimbangkan saya. Sudah tentunya budaya ini cermin budaya universiti tempat mereka menerima ijazah. Seterusnya kedangkalan budaya ini meresap ke sekolah2. Maka lahirkan budaya kurang intelek di peringkat sekolah pula. Mohon YB buat sesuatu sebelum terlambat.
    Saya doakan YB dipermudahkan segala urusan. Semoga Allah memberkati YB.
    Terima kasih.

    Dari ibu yang bimbang.

  2. Assalamualaikum…saya surirumahtangga dan ibu kpd 4 anak yg kesemuanya masih bersekolah. Kenyataan bahawa UM & NUS berasal dari akar yg sama agak mengejutkan saya. Bagaimana boleh NUS menjadi umiversiti no1 di asia dan UM hampir tercorot.kata .org kampung saya tak layak pandang sebelah mata pun.sebagai ibu kepada keluarga berpendapatan rendah yg bergantung sepenuhnya pada sistem pendidikan negara untuk menjamin masa depan anak2 saya layak merasa bimbang dan ragu dgn kebolehan kepimpinan sekarang dalam menentukan masa depan generasi akan datang
    Saya mohon YB Rafizi melakukan sesuatu (tindakan drastik kalau boleh) demi masa depan rakyat kebanyakan seperti saya.

  3. Harap saudara Rafizi boleh berkongsi pengalaman anda di sini berkenaan lawatan ke NUS pada bulan ini. Sangat berminat hendak tahu bagaimana mereka mampu melonjak ke tahap seperti sekarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.