Cabaran Pengerusi & Timbalan Pengerusi SPR: Jangan Cuba Lari Dari Isu Kegagalan SPR Di Bawah Tanggungjawab Mereka

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang kononnya mencabar saya mengulangi ucapan di dalam Dewan Rakyat dengan menyebut secara khusus nama mereka membayangkan bagaimana partisannya dan berat sebelahnya kedua-dua mereka ini. Malah, perkataan-perkataan yang digunakan seperti “anak jantan”, “menipu” dan lain-lain tidak menunjukkan sikap profesional mereka yang kini berkokok lebih bising dari ahli-ahli politik.

Saya telah ulang pendedahan mengenai pembekal dakwat kekal dan amalan perolehan yang meragukan di luar dewan. Saya telah mempersoalkan peranan dan keterlibatan pimpinan SPR di dalam proses ini yang menghakis sepenuhnya keyakinan rakyat kepada kredibiliti dan kebebasan SPR.

Sebagai pimpinan tertinggi SPR, kedua-dua mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada kesemua perkara ini – dari kegagalan dakwat kekal sehinggalah kepada perlantikan pembekal melalui rundingan terus yang membolot kontrak-kontrak pembekalan tetapi gagal melaksanakannya dengan baik.

Kenyataan di luar dewan yang telah saya buat adalah mencukupi untuk mereka mengambil tindakan undang-undang. Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan oleh kedua-dua mereka sekarang.

Isu sebenarnya adalah kegagalan kedua-dua mereka mengendalikan pilihanraya dengan adil, bebas dan telus. Ini dibuktikan dengan pelbagai laporan dan dakwaan terhadap mereka, terutamanya kegagalan pelaksanaan dakwat kekal. Apabila diselidiki, didapati bahawa kegagalan dakwat kekal itu berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain.

Sebagai pimpinan tertinggi SPR, mereka perlu bertanggungjawab di atas kegagalan ini.

Jika mereka benar-benar menjalankan tugas dengan baik, sudah tentu mereka boleh menjawab persoalan-persoalan berikut yang menurunkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPR:

1. Kenapa syarikat-syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihanraya SPR termasuk dakwat kekal?

2. Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihanraya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

3. Apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?

4. Semasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR menjawab pelbagai pertanyaan media mengenai dakwat kekal, apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak berbincang langsung mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai lain? Mustahil Pengerusi dan Timbalan Pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?

5. Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?

Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.

Namun, kedua-dua mereka kini bersembunyi di sebalik isu cabar-mencabar kerana tidak berani untuk menjawab kelima-lima soalan yang berlegar di fikiran rakyat kini. Hakikat bahawa mereka lebih lantang cabar mencabar dari membersihkan nama SPR dengan menjawab soalan-soalan ini membayangkan ada perkara yang tidak telus yang mahu disembunyikan.

 

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

25 JULAI 2013

One thought on “Cabaran Pengerusi & Timbalan Pengerusi SPR: Jangan Cuba Lari Dari Isu Kegagalan SPR Di Bawah Tanggungjawab Mereka”

  1. setuju dengan kenyataan ini. Fokus kpd isu sebenar entah kemana, melolong pasal perkara remeh yang dilebih2kan. Ini yang pihak sebelah sana praktiskan. Lari dari masalah sedia ada dengan harapan kisah ini luput dimakan zaman. Ini perangai budak sekolah yang malas nak bikin kerja sekolah. Kalau yg tua pun dah buat begini, apalah yang kita nak harapkan dari generasi pelapis yang ada sekarang?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.