Tindakan Dan Keputusan Pentadbiran Dato’ Seri Najib Menjejaskan Operasi & Kedaulatan Negara

Saya merujuk kepada dua laporan dan kenyataan berasingan yang dilaporkan di Malaysia dan Filipina semalam yang memberi kesan besar kepada kedaulatan negara, disamping memberi gambaran beberapa tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menangani pencerobohan di Sabah telah memburukkan keadaan.

Kenyataan Dato’ Seri Najib yang mengakui bahawa pentadbiran beliau hanya mula bertindak mengambil jalan ketenteraan apabila lapan orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbunuh mengesahkan keraguan di banyak pihak sebelum ini bahawa beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk berunding dengan penceroboh Sulu.

Kenyataan beliau itu disiarkan semalam (7 Mac 2013) di dalam Buletin Utama di saluran TV3. Beliau secara jelas mengakui bahawa tindakan ketenteraan hanya diambil setelah anggota keselamatan kita terkorban.

Sebab itu, KEADILAN berpendapat adalah wajar sekiranya seluruh operasi keselamatan di Sabah kini diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa campur tangan dari pimpinan politik. Ini untuk mengelakkan berulangnya salah pertimbangan di peringkat awal pencerobohan apabila tindakan ketenteraan hanya dibuat apabila nyawa anggota keselamatan terkorban setelah rundingan yang berpanjangan tidak membuahkan hasil.

Untuk menjaga keselamatan anggota tentera dan polis yang melaksanakan operasi di Sabah, wajarlah keputusan diserahkan kepada kepimpinan ATM dan PDRM yang lebih arif, supaya mereka dapat membuat keputusan dengan cepat dan tepat tanpa terlalu terikat dengan keputusan politik.

Saya juga benar-benar khuatir dengan kenyataan yang dibuat oleh Rene Almendras, Setiausaha Kabinet Filipina yang dipetik oleh Philippine Daily Enquirer (yang kemudiannya turut dilaporkan oleh laman The Malaysian Insider bertarikh 7 Mac 2013 bertajuk “Putrajaya, Manila Offered Sulu Gunmen Exit Passes”).

Laporan itu memetik pengakuan Setiausaha Almendras bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib telah bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penceroboh Sulu dengan syarat mereka hanya perlu meninggalkan atau menyembunyikan senjata dan meninggalkan Sabah.

Lebih membimbangkan, laporan itu turut menyebut persetujuan pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk membuka kembali soal tuntutan terhadap Sabah yang dibawa oleh penceroboh Sulu.

Kedua-dua keputusan itu, jika benar, menjejaskan kedaulatan negara.

Bukanlah hak Dato’ Seri Najib untuk membuat keputusan sewenang-wenangnya untuk merundingkan kembali kedudukan Sabah di dalam Malaysia dan tuntutan yang dibuat oleh penceroboh. Hak itu adalah hak rakyat dan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri adalah untuk mempertahankan kedaulatan negara sekeras-kerasnya, apatah lagi dalam kes yang melibatkan pencerobohan terang-terangan seperti yang berlaku.

Malah, tawaran untuk penceroboh Sulu meninggalkan atau menyembunyikan senjata tanpa dikenakan apa-apa tindakan memberi isyarat yang buruk bahawa kerajaan Malaysia boleh bertolak ansur dengan pencerobohan sedemikian rupa. Ini akan menjemput lebih banyak pencerobohan di masa hadapan, apabila penceroboh boleh menyusup masuk dan mengambil semula senjata-senjata yang disembunyikan.

Perkembangan-perkembangan ini memberi gambaran bercelarunya tindak balas dan keputusan yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib dalam menangani peristiwa pencerobohan ini. Masa yang terlalu lama diambil untuk berunding, ditambah pula dengan terma rundingan yang menjejaskan kedaulatan negara, sedikit sebanyak menjejaskan keberkesanan operasi menggempur penceroboh apabila pihak keselamatan diarahkan mengambil tindakan setelah rundingan gagal.

Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak ada pilihan kecuali menjawab persoalan ini di dalam satu siding khas Parlimen mengenai pencerobohan di Sabah. Jika beliau terus mengelak, maka keraguan di pihak rakyat yang tertanya-tanya kenapakah krisis ini tidak ditangani dengan lebih tegas dan cepat akan terus berlegar.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

8 MAC 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.