Cabar UMNO Gugurkan Pimpinan Yang Terpalit Dengan Rasuah, Disiasat SPRM

Perlakuan rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional di negeri-negeri yang dikuasainya bukanlah suatu perkara baru. Pengurusan hasil balak di negeri-negeri yang ditadbir Umno/Barisan Nasional yang terpalit dengan rasuah menjadi buah mulut rakyat dan pelbagai siasatan oleh pihak berkuasa.

Contoh yang baik ialah pengurusan balak di Terengganu di bawah YAB Dato’ Seri Ahmad Said. Saya dan YB Dr Syed Azman Syed Nawawi telah mendedahkan modus operandi bagaimana syarikat-syarikat yang ingin turut serta di dalam tender mengeluarkan hasil balak dipaksa untuk membeli syarikat RM2 pada harga RM2.5 juta untuk dipertimbangkan.

Hari ini, saya menampilkan bukti bayaran bagaimana syarikat yang menjadi mangsa terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

(Sila rujuk cek dan resit yang disertakan bersama)

resit cheque

Malah, penyelewengan pengurusan hasil balak di Terengganu ini telah menjadi satu isu besar sehinggakan beberapa siasatan rasmi telah dibuat oleh SPRM sendiri.

Saya sertakan dokumen penyiasatan rasmi yang mengesahkan bahawa SPRM telah membuka fail dan menjalankan siasatan atas beberapa aduan yang diterima.

(Sila rujuk dokumen rasmi SPRM mengesahkan bahawa kes ini telah disiasat oleh SPRM)

letter3 letter2 letter1

Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak di Terengganu.
Malah, saya tidak mendapat apa-apa maklumbalas pun dari Dato’ Seri Ahmad Said sendiri mengenai skandal balak ini, yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dan banyak keputusannya ditentukan oleh beliau sendiri.

Siasatan dan skandal terbaru yang melibatkan Dato’ Seri Ahmad Said ini hanyalah satu dari beberapa siri yang mengaitkan pimpinan Umno. Selain beliau, pimpinan-pimpinan tertinggi Umno yang berikut adalah terpalit dengan tuduhan rasuah atau siasatan SPRM bersabit rasuah:

1. Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno
2. Dato’ Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah
3. Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
4. Dato’ Seri Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan
5. Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak
6. Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu
7. Dato’ Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan
8. Dato’ Seri Shafiee Afdhal, Menteri Luar Bandar

Jika Dato’ Seri Najib benar-benar jujur untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh diterima rakyat, maka dia harus memberi komitmen untuk menggugurkan pemimpin Umno ini dari menjadi calon dalam pilihanraya akan datang – bukan sekadar menghantar nama untuk disemak oleh SPRM.

Jika Umno tidak bersedia untuk menggugurkan pimpinan ini, terbukti bahawa Umno tidak serius untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh menang (winnable) seperti yang disebut-sebut Dato’ Seri Najib sendiri.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

12 MAC 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.