Pengumuman MITI Tidak Membawa Kesan Kepada Harga Kereta, Menguntungkan Golongan Kaya

Pengumuman Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) bahawa cukai import bagi kereta-kereta import siap pasang (CBU) dari Jepun dan Australia akan dikurangkan secara berperingkat menjelang tahun 2016 adalah helah politik menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Ini bukanlah perkara baru dan adalah dasar sedia ada yang sudah pun diketahui umum. Malah, perkara ini diulas dengan panjang lebar di dalam Laporan Kesatuan Eropah Mengenai Industri Automotif Malaysia bagi Januari 2012 (yang disertakan bersama), menunjukkan bahawa perkara ini sudah pun wujud sejak tahun 2012 lagi.

Lebih teruk lagi, penghapusan cukai import untuk kereta-kereta mewah CBU yang diimport dari Jepun telah pun dilaksanakan oleh Umno/Barisan Nasional sekarang. Pada ketika ini pun, memang Umno/Barisan Nasional tidak mengenakan sebarang cukai import kepada kereta-kereta import dari Jepun di antara 2,500 hingga 3,000 cc.

Import komponen, pasang di Malaysia (CKD)

Kereta import siap pasang (CBU)

2013

2014

2015

2016

< 1,800 cc

0%

13.6%

9.1%

4.6%

0%

1,800 – 2,000 cc

0%

13.6%

9.1%

4.6%

0%

2,000 – 2,500 cc

0%

13.6%

9.1%

4.6%

0%

2,500 – 3,000 cc

0%

0%

0%

0%

0%

Struktur cukai import sedia ada bagi kereta-kereta keluaran Jepun, yang diumum semula oleh MITI hari ini

Sebab itu, KEADILAN beranggapan bahawa dasar sedia ada yang diamalkan oleh Umno/Barisan Nasional digubal untuk menguntungkan golongan kaya. Cukai import dihapuskan untuk kereta-kereta import besar dan mahal yang hanya mampu dibeli oleh orang kaya.

Dengan pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Seri Mustapha Mohamad itu, ia hanya akan memberi kesan kepada sekitar 21,000 unit kereta setiap tahun kerana jumlah kereta import siap pasang (CBU) dari Jepun hanyalah sekitar 3.5% dari jumlah jualan keseluruhan kenderaan (Total Industry Volume atau TIV). Jumlah kereta import dari Australia pula adalah terlalu kecil dan langsung tidak akan memberi kesan kepada harga kereta di negara itu.

KEADILAN tetap dengan pendirian dan kempen kami bahawa struktur cukai eksais yang perlu dirombak untuk menurunkan harga kereta. Cukai eksais (dicampur dengan cukai jualan) yang bermula setinggi 85% bagi kereta bersaiz bawah 1,800 cc dan mencecah 115% bagi kereta bersaiz atas 3,000 cc dikenakan ke atas setiap kereta tanpa mengira asal pengeluaran.

Cukai inilah yang mencekik darah rakyat terutamanya golongan kelas bawahan yang membeli kereta-kereta keluaran tempatan. Mereka terpaksa membayar harga kereta sehingga dua kali ganda dari harga sebenar kerana cukai eksais yang dikenakan. Lebih penting, cukai eksais berada di dalam kawalan kerajaan persekutuan sepenuhnya tanpa perlu dirunding dengan mana-mana negara.

KEADILAN komited untuk menurunkan cukai eksais ini dalam tempoh lima tahun secara berperingkat dengan kadar penurunan 20% setiap tahun. Menjelang tahun 2018, tidak ada lagi cukai eksais yang akan dikenakan ke atas kereta.

Sekiranya Umno/Barisan Nasional juga prihatin dengan nasib rakyat, wajarlah ia juga menurunkan cukai eksais, bukannya bermain wayang seperti sekarang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

28 FEBRUARI 2013

Muat Turun Laporan Kesatuan Eropah Mengenai Industri Automotif Malaysia bagi Januari 2012 – The Malaysian Automotive Sector (January 2012)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.