Pelancaran Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat

Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah pun meluluskan manifesto bersama Pakatan Rakyat yang akan dilancarkan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 pada hari Isnin, 25 Februari 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Manifesto ini dinamakan Manifesto Rakyat dan bertemakan Pakatan Harapan Rakyat. Ia mengandungi 4 teras utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat. Intipatinya boleh dihayati dari pengenalan Manifesto Rakyat yang berbunyi:

“Malaysia adalah negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya diikat oleh muafakat Perlembagaan.

Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan dengan kepayahan hidup.

Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, negara berkebajikan, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita.

Demi kita, demi rakyat, bersama-sama ubah sekarang untuk melakar masa depan Malaysia.”

Manifesto Rakyat menggabungkan kesemua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat (dilancarkan tahun 2009), Buku Jingga (dilancarkan tahun 2010) dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan membangunkan Manifesto Rakyat juga telah meneliti dan mengambil pandangan dari memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk digarab di dalam manifesto. Selain itu, pelbagai rundingan telah diadakan dengan banyak pihak untuk memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dititikberatkan di dalam Manifesto Rakyat.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat mula bersidang untuk menghasilkan Manifesto Rakyat dalam bulan September 2011. Proses rundingan dan kajian berlangsung selama 18 bulan dan dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Pelancaran Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat menandakan bermulanya kempen pilihanraya umum ke-13. Kami mengalu-alukan perdebatan, pandangan dan kritikan sihat berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam Manifesto Rakyat.

Pelancaran awal manifesto pilihanraya juga membuktikan komitmen Pakatan Rakyat untuk memastikan kempen pilihanraya umum kali ini bertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa oleh Barisan Nasional.

JK DASAR & MANIFESTO PAKATAN RAKYAT

YB Dato’ Husam Musa
YB Dr Dzulkifly Ahmad
YB Dr Hatta Ramli
YB Salehuddin Ayub
YB Liew Chin Tong
Dr Ong Kian Ming
YB Teo Nie Ching
YB Charles Santiago
YB Nurul Izzah Anwar
Saudara Rafizi Ramli
Saudara Wong Chen
YB Sivarasa Rasiah
YB Baru Bian
Saudara Thamrin Jaini

19 Februari 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.