Deepak Menyerahkan Dokumen Kepada Orang Ketiga, Pihak Berkuasa Wajar Siasat

Saya sedia maklum reaksi Deepak Jaikishan mengenai dokumen-dokumen yang membabitkan syarikat-syarikat beliau yang kini didedahkan kepada umum.

Saya ingin mengesahkan beberapa perkara:

1. Saudara Deepak memang menyerahkan sendiri dokumen-dokumen itu kepada individu tertentu yang dihubunginya sebelum ini dengan harapan ia akan dibawa oleh pimpinan KEADILAN;

2. Beliau sebelum ini mendakwa dokumen-dokumen itu adalah bukti yang beliau ada mengenai salahlaku dan rasuah membabitkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor;

3. Selepas beberapa ketika, dokumen-dokumen itu diserahkan kepada saya oleh individu terbabit untuk disemak dan dipastikan kesahihannya, seperti amalan biasa di dalam KEADILAN;

4. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan kerana berpendapat ia tidak mempunyai unsur kepentingan awam sekiranya seseorang berbelanja besar memberi hadiah kepada seorang VIP tanpa ada bukti ada habuan atau projek yang terlibat;

5. Berikutan tindakan Boustead Holdings Berhad mengumumkan akan membayar RM160 juta untuk membeli syarikat milik Saudara Deepak dan tanah dari Awan Megah Sdn Bhd, saya berpandangan ia membuka dimensi baru bahawa dakwaan Saudara Deepak sebelum itu berkaitan dengan kepentingan awam;

6. Selepas menyemak dokumen-dokumen itu dan mendapatkan maklumat tambahan, saya yakin bahawa ia ada asas kukuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya berpendapat kenyataan-kenyataan Saudara Deepak wajarlah dijadikan bukti dalam siasatan yang akan datang oleh pihak berkuasa memandangkan dokumen-dokumen itu melibatkan syarikat beliau dan urusniaga syarikat beliau (termasuklah slip pemindahan wang dari akaun syarikat beliau). Fakta-fakta ini tidak disanggah atau dinafikan oleh Saudara Deepak, sekadar enggan mengulasnya buat ketika ini.

Saya akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Saya juga telah berbincang dengan individu yang mendapat dokumen-dokumen ini dari Saudara Deepak dan beliau bersetuju untuk memberi keterangan bagi membuktikan bahawa dokumen-dokumen ini diperolehi dari Saudara Deepak.

Jelasnya, tindak tanduk dan tingkah laku Saudara Deepak sebelum ini tidak berkait dengan KEADILAN. Ia menyangkal percubaan Umno yang menuduh kononnya ini satu perencanaan oleh KEADILAN. Saudara Deepak sendiri menyatakan kekecewaan beliau kerana saya dan beberapa pimpinan KEADILAN dilihatnya keberatan untuk duduk berbincang dengan beliau.

Oleh yang demikian, saya telah berbincang dengan pimpinan parti dan bersetuju bahawa saya boleh bertemu dengan Saudara Deepak untuk meneliti bukti-bukti yang beliau ada, seperti yang didakwa sebelum ini.

Saya akan mengaturkan satu pertemuan dalam masa terdekat untuk mendengar perancangan beliau dan meneliti bukti-bukti yang didakwa beliau. Semoga ini akan membantu merungkai pelbagai persoalan mengenai integriti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang semakin menjadi isu hangat.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
3 JANUARI 2013

9 thoughts on “Deepak Menyerahkan Dokumen Kepada Orang Ketiga, Pihak Berkuasa Wajar Siasat”

  1. Bro, aku nasihatkan sebelum “merungkai pelbagai persoalan mengenai integriti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang semakin menjadi isu hangat”, jelaskan dulu sumber dokumen yang kamu dapat tu dari mana. sebabnya kini yang menjadi isu hangat bukanlah intergriti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, tapi integriti kamu dan dokumen2 yang kamu bawak dari entah mana2 tu. Jangan jadi budak2, baling batu sembunyi tangan…aku bagitau ikhlas ni, sebab kamu asal dari satu sekolah dengan aku. Nak dengar ke tidak suka hati kamu la.

    1. Budak umno ni nak pakai nama sekolah pulak. Sekolah sama ke, adik beradik sekali pun, kalau hidup dengan bersubahat dgn pemimpin yg zalim dan rasuah, dlm kubur kena jawab jugak.

      WokYoh Samad ni ngaku pergi MCKK tp gaya2 mcm tak je 😉 (or at least not the MCKK I went to 😉

    2. Nama pun wokyoh. Wokyoh ni watak dia mmg selalu kena main dgn said jea. Padan sgtlah nama ni dgn watak.
      Ps:di nk bgtau yg dia g skolah hebat la tu
      tapi pemikiran dia mcm skolah estet jea.

  2. Teruskan usaha saudara dalam membongkar amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin kerajaan,kroni dan anak beranak mereka demi menyelamatkan wang dan harta rakyat.

  3. Bro..now deepak dah gunakan u untk cubaan frame najib.then deepak nafikan pernah tengok atau tau pasal invois barangkemas tu. Pastu deepak kecewa pulak anwar tak sokong dia. Deepak and the gang nak gunakan u dan pr to achieve his goals. Boustead involvement means someone has fallen into a trap ini bole siasat sebab libatkan wang rakyat boleh dibela. I suggest u backoff case invois barangkemas ni. It might be a trap too. Mungkin u atau anwar..Buku blackrose pun tak tahu siapa tulis If deepak wants to achieve his goals let him do it himself. PR just take the benefits of the doubts aje. Be extra careful it might be a trap. jgn hilang fokus untuk layan deepak ni.

  4. Saya ada baca di forum politik deepak ada kaitan dengan mahathir sebab dia hadir semasa majlis hari jadi mahathir. Penulis tu tulis deepak digunakan oleh mahathir untuk jatuhkan najib sebab najib-rosmah dah jadi liabiliti yang membahayakan umno sekaligus membahayakan mahathir. Seterusnya mahathir nak naikkan muhyidin dan anaknya mukriz sebagai PM dan TPM sebelum PRU13 untuk selamatkan umno sekaligus menyelamatkan mahathir. Saya khuatir deepak hanya menggunakan saudara dan PKR untuk menjayakan rancangan mahathir untuk menjatuhkan najib sebelum PRU13.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.