KEADILAN Dedah Video Yang Mengaitkan Anak Dato’ Seri Nazri Aziz Dan Kenderaan Hummer WNX 9776

Sehingga kini, tidak ada sebarang penafian dari Dato’ Seri Nazri Aziz atau anaknya, Nedim Nazri Aziz bahawa dia (Nedim) telah mendapat manfaat dari penggunaan kereta mewah Hummer WNX 9776 yang dimiliki oleh Michael Chia.

Kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz langsung tidak menafikan perkara ini, malah beliau mempertahankannya sebagai hak anak beliau untuk menggunakannya.

Pun begitu, KEADILAN faham bahawa beban untuk mengemukakan bukti bahawa kenderaan Hummer WNX 9776 itu memang digunakan oleh Nedim Nazri Aziz dan keluarganya terletak dibahu kami.

Hari ini, KEADILAN tampil mengemukakan 7 rakaman video untuk diteliti oleh pihak media dan rakyat yang boleh membuktikan dakwaan kami sebelum ini.

(Video dibekalkan kepada pihak media bersama-sama dengan koleksi gambar yang belum disiarkan lagi. Video dan koleksi gambar yang sama akan dimuatnaik ke internet melalui Youtube dan laman rafiziramli.com)

Video-video tersebut adalah seperti berikut:

 Video 1: rakaman yang membuktikan bahawa kenderaan Hummer WNX 9776 dikendalikan oleh pemandu peribadi dan pengawal keselamatan keluarga Nedim Nazri Aziz. Kenderaan itu juga disimpan di Clearwater Residence, tempat kediaman keluarga Nedim Nazri Aziz.

 Video 2: rakaman yang menunjukkan seorang pembantu rumah turun dari Clearwater Residence dan memindahkan barang ke Hummer WNX 9776. Kami mengesyaki dia adalah pembantu rumah keluarga Nedim Nazri Aziz.

 Video 3: rakaman yang menunjukkan kenderaan Hummer WNX 9776 keluar masuk ke Clearwater Residence.

 Video 4: Rakaman sebelah malam yang menunjukkan sebuah kereta sports Audi (berwarna hijau walaupun tidak terang warnanya di dalam video) mengekori kenderaan Toyota Vellfire hitam secara dekat di lobi Clearwater Residence. Toyota Vellfire hitam adalah kenderaan yang digunakan isteri/keluarga Nedim Abdul Aziz. Kami percaya kereta sports Audi berwarna hijau dipandu sendiri oleh Nedim Abdul Aziz.

 Video 5: Rakaman sebelah malam yang menunjukkan pemandu peribadi dan pengawal keselamatan yang sama (sebelum ini dirakam dengan Hummer) memandu/mengendalikan Toyota Vellfire yang digunakan oleh keluarga Nedim Nazri Aziz. Ini membuktikan bahawa Hummer WNX 9776 digunakan oleh Nedim dan keluarganya.

 Video 6: Rakaman yang menunjukkan kolam renang di satu unit di Clearwater Residence, yang sama dengan petikan skrin (screen shot) kolam renang di kondominium Nedim Nazri Aziz seperti yang ditwitnya

 Video 7: Rakaman siang yang menunjukkan sebuah kereta sports Audi berwarna hijau yang mengekori dengan dekat Hummer WNX 9776. Kami percaya bahawa Nedim Nazri Aziz bergerak di dalam konvoi. Hummer WNX 9776 adalah untuk kegunaan pengawal peribadinya sementara dia memandu kereta sports Audi hijau.

Dengan pendedahan video-video ini, terpulanglah kepada Dato’ Seri Nazri Aziz dan anaknya Nedim Nazri Aziz sama ada mahu menafikan atau mengesahkan bahawa keluarga mereka mendapat manfaat terus dari seorang ahli perniagaan yang disiasat atas tuduhan rasuah.

KEADILAN yakin melalui penyiasatan kami bahawa Hummer WNX 9776 itu memang dibekalkan oleh Michael Chia sebagai manfaat kepada keluarga Dato’ Seri Nazri Aziz.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
2 NOVEMBER 2012

2 thoughts on “KEADILAN Dedah Video Yang Mengaitkan Anak Dato’ Seri Nazri Aziz Dan Kenderaan Hummer WNX 9776”

  1. Uday & Qusay Malaysia.

    Anak sedara Noh Omar yg berlumba kat Karak highway dengan Nissan Fairlady sampai langgar pedistrian sampai berkecai tu camana pulak ceritanya. Dengar citenye lepas gitu je.

    Cue cite cue cite

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.