Keadilan Tuntut Siasatan Di Bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Anti Money Laundering Act 2001)

Penjelasan Dato’ Seri Nazri Aziz di Parlimen baru-baru ini yang cuba melepaskan Dato’ Seri Musa Aman dari tuduhan rasuah membabitkan wang RM40 juta sebenarnya menguatkan lagi persepsi bahawa ada unsur-unsur rasuah dan pelanggaran undang-undang yang terlibat.

Kenyataan Dato’ Seri Wilfred Bumburing, Ahli Parlimen Tuaran hari ini bahawa wang RM40 juta itu dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi seorang pemimpin Umno mengesahkan bahawa pemindahan wang itu berkemungkinan besar telah melanggar undang-undang negara terutamanya peruntukan-peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act 2001, selepas ini dirujuk sebagai Akta 613).

KEADILAN memang telah lama mengumpulkan bukti dan maklumat bagi membolehkan satu laporan di buat kepada Bank Negara Malaysia di bawah Akta 613 untuk menyiasat pemindahan wang tersebut. Apatah lagi apabila pemindahan wang tersebut dipercayai membabitkan hasil dari kegiatan pembalakan yang mempunyai unsur rasuah sehinggakan ia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya akan membuat satu laporan kepada Bank Negara Malaysia pada hari Khamis 25 Oktober 2012, jam 11 pagi agar satu siasatan dijalankan berdasarkan bukti-bukti berikut:

1. Sesebuah institusi kewangan perlu melaporkan segera kepada Bank Negara Malaysia sekiranya sebarang pegawai atau kakitangannya mengesyaki bahawa satu pemindahan wang adalah bersabit kegiatan haram atau hasil dari kegiatan haram – Seksyen 14, Akta 613

BUKTI:

 Kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz bahawa wang RM40 juta dibekukan oleh pihak berkuasa di Hong Kong secara jelas menunjukkan bahawa ada asas untuk mengesyaki wang tersebut berpunca dari kegiatan haram. Sebarang pemindahan dari akaun yang dibekukan kerana disyaki mestilah turut disyaki oleh bank Malaysia yang menerimanya, maka peruntukan Akta 613 mewajibkan bank tersebut melaporkan segera kepada Bank Negara Malaysia

 Kenyataan Dato’ Seri Wilfred Bumburing bahawa wang RM40 juta itu dipindahkan ke dalam akaun peribadi seorang pemimpin Umno sepatutnya secara serta merta menimbulkan syak wasangka di pihak bank Malaysia yang menerima, kerana pendapatan dan kekayaan seorang ahli politik di Malaysia tidaklah seberapa. Sebarang pemindahan wang dalam jumlah yang besar sebegitu ke dalam akaun seorang ahli politik secara serta merta menimbulkan syak wasangka, seperti diperuntukkan Akta 613

2. Sesebuah institusi kewangan wajib mengambil semua langkah-langkah yang perlu untuk menjejaki identiti sebenar pemilik wang yang dipindahkan, lebih-lebih lagi di dalam kes yang melibatkan seorang pemegang akaun yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan, kewangan atau industri dari negara asal wang yang dipindahkan – Seksyen 16(3), Akta 613

BUKTI:

 Kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz bahawa wang RM40 juta adalah milik Umno dan keterangan Dato’ Seri Wilfred Bumburing bahawa wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi seorang pemimpin Umno adalah salah satu contoh salahlaku yang perlu dilaporkan di bawah Seksyen 16(3), Akta 613.

 Akta 613 mewajibkan bank menyiasat latar belakang individu yang terlibat dan sekiranya pemindahan wang yang besar tidak ada kena mengena dengan operasi perniagaan yang dimiliki di luar negara, ia asas yang kukuh untuk melaporkan kepada Bank Negara Malaysia agar siasatan dapat dimulakan.

KEADILAN percaya Bank Negara Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk memulakan siasatan dan kuasa yang meluas untuk menyiasat individu-individu terbabit.

Kebebasan Bank Negara Malaysia menyiasat kes ini akan diikuti rapat oleh masyarakat dalam dan luar negara kerana ia bakal membayangkan integritinya.

YB DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

24 OKTOBER 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.