Bukti Baru Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil Boleh Disiasat Di Bawah Anti Money Laundering Act (AMLA)

Berita penutupan restoran-restoran yang dikendalikan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura memberi ruang kepada saya untuk meneliti kembali beberapa urusniaga dan transaksi (transaction) yang melibatkan dana rakyat yang disalurkan melalui NFC.

Walaupun berita penutupan itu perlu disambut dengan rasa lega, ia tidak bermakna bahawa penyelewengan dana rakyat RM250 juta boleh disembunyikan.

Saya ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mempunyai 3 syarikat utama yang beroperasi di Singapura melalui sokongan dana RM250 juta NFC, iaitu:

1. Meatworks Singapore Pte Ltd yang mengendalikan restoran-restoran mewah

2. Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang mengendalikan pasaraya

3. Global Biofuture Pte Ltd yang mengendalikan urusan pembelian dan jualan pukal (trading)

Setakat ini, siasatan dan pendedahan KEADILAN banyak bertumpu kepada Meatworks Singapore Pte Ltd dan Farmhouse Supermarkets Pte Ltd sehingga menyebabkan operasi yang dikendalikan kedua-dua syarikat ini terpaksa ditutup.

KEADILAN kini mengalihkan pula tumpuan kami terhadap syarikat Global Biofuture Pte Ltd untuk memastikan operasinya juga disiasat dan segala pemindahan wang dari dana awam RM250 juta dihentikan serta merta.

Hari ini, KEADILAn tampilkan satu contoh transaksi yang melibatkan syarikat-syarikat yang dikawal oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Malaysia dan Singapura yang disyaki melakukan pemindahan wang yang bertentangan dengan mandat dan tujuan NFC.

Pemindahan wang sebegini perlu disiasat di bawah Anti Money Laundering Act (AMLA) yang menetapkan bahawa Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat sebarang transaksi yang disyaki, sama ada disyaki sumber kewangannya atau disyaki tujuan pemindahan wang dibuat.

Saya sertakan 3 dokumen seperti berikut:

1. Email dari Donna Yong, kakitangan Meatworks Singapore yang bertanggungjawab terhadap operasi syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura bertarikh 25 Oktober 2010 kepada Jabatan Kewangan NFC dan disalinkan kepada ketiga-tiga anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

2. Borang permohonan penyediaan cek oleh National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC) yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil agar satu bayaran berjumlah US$990,402 (bersamaan hampir RM3 juta) dibuat kepada sebuah akaun bank di Singapura.

3. Invoice bernombor V14/10 dari South East Asian Livestock Services Pty Ltd berpusat di Darwin berjumlah US$990,402 kepada Global Biofuture Pte Ltd berpusat di Singapura yang dimiliki dan dikawal oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Dokumen-dokumen ini mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Pembelian lembu dari luar negara dibuat melalui sebuah syarikat broker Global Biofuture Pte Ltd yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

2. Pembelian lembu berjumlah jutaan ringgit ini dibayar pula oleh syarikat NMLC yang menggunakan wang rakyat yang diberikan kepada NFC, sedangkan pembelian lembu-lembu tersebut dibuat oleh Global Biofuture Pte Ltd yang langsung tiada kena mengena dengan NMLC dan NFC.

Ini bermakna wang NFC telah dipindahkan secara haram melalui NMLC kepada Global Biofuture Pte Ltd yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil. Transaksi ini sepatutnya disiasat serta merta oleh Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa memandangkan ia berkemungkinan melanggar Anti Money Laundering Act (AMLA), apatah lagi ia membabitkan penyelewengan wang rakyat.

Pada masa yang sama, kehadiran Global Biofuture Pte Ltd sebagai orang tengah dalam pembelian lembu ini pada harga yang tinggi menimbulkan persoalan:

Apakah keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mengambil untung dua kali dalam pembelian lembu-lembu dari luar negara yang dibekalkan kepada NFC?

Apakah Global Biofuture Pte Ltd makan untung atas angin dengan mengenakan margin apabila ia menjual pula lembu-lembu tersebut kepada NFC?

Kenapakah NFC tidak boleh membeli terus lembu-lembu tersebut dari pembekal tanpa melalui orang tengah yang kebetulannya pula dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil?

KEADILAN merasakan bukti baru ini adalah mencukupi agar Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa menyiasat keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil atas kemungkinan melanggar Anti Money Laundering Act (AMLA).

Satu laporan baru akan dibuat pada hari Khamis ini untuk memastikan siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

11 SEPTEMBER 2012

9 thoughts on “Bukti Baru Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil Boleh Disiasat Di Bawah Anti Money Laundering Act (AMLA)”

  1. Tahniah Saudara Rafizi. Teruskan perjuangan saudara dan bawakan perubahan kepada lanskap pemerintahan negara yg telah sekian lama membudayakan konsep “if I’m up there and I help you, what’s in it for me”… Sokongan padu dari kami rakyat biasa yg tak ada suara ini…

    Masanya telah tiba untuk semua kita kembali ke pangkal jalan – yg hitam dipanggil hitam yg putih tetap putih, yang bersalah terus didakwa tanpa mengira kedudukan seseorang atau ahli keluarganya.

    Untuk keluarga Shahrizat tarikla nafas panjang2… kalau terbukti bersalah masukla ‘dalam’ dan duduk la dalam tu diam2 (tak payah nak salahkan orang tu atau orang ni, tapi diri sendiri tak pernah salah); tapi kalau terbukti tak bersalah tarik nafas lega dan pergi lah nasihat dgn bersungguh-sungguh rakan2 tak sedar diri yg lain agar hentikan lah whatever that you are doing that’s ruining the country…

  2. Tahniah kepada saudara Rafizi. Rakyat Malaysia merasa bangga dan beruntung mempunyai orang yang bijak seperti saudara. Teruskan usaha membawa kebaikan kepada negara ini. Semoga lebih ramai orang seperti saudara di Malaysia ini.

    ALLAH selamatkan Rafizi dan Malaysia tercinta ini dari sebarang bentuk kezaliman, penindasan, rasuah dan perkara-perkara yg keji.

  3. Tahniah sdra Rafizi, you did a great job. Saya turut menasihatkan diri saya agar tidak pernah takut dan gentar terlebih lagi apabila mengetahui pemimpin yang diamanatkan utk menjaga kebajikan rakyat mengambil kesempatan. Bukti nyata, masih ramai rakyat yang miskin, menderita terlantar berpuluh tahun kemudian bantuan kebajikan mereka tiba-tiba dipotong dengan alasan yg sungguh tidak munasabah…. Saya turut berdoa semoga banyak lagi adegan-adegan benar dan tepat akan dipaparkan di semua media…. Sekali lagi Tahniah dan mari kita teruskan perjuangan murni ini..!!! Kita Tukar!!

  4. Apa yg dipaparkan ini cuma pembelian lembu hidup daripada SEALSpl oleh GlobalBio. Komunikasi melalui email NFC tidak bermakna wang dikeluarkan dari NFC. Tiada bukti bahawa dana dikeluarkan daripada NFC. Amaun dalam invois NFC sama dgn dlm emaill. So berapa profit margin? sifar? Harga seekor lembu adalah sekitar RM2xxx jika dikira. Cuba jelaskan

  5. TAHNIAH BRO RAFIZI…TERUSKAN PEMBONGKARAN….CUMA…NAK PERBETULKAN SIKIT……..BUKAN WANG RAKYATYANG DIBERIKAN KEPADA NFC…TETAPI WANG RAKYAT YANG DISONGLAP OLEH NFC……

    KENA LAHIR RAMAI LAGI RAFIZI…UNTUK TERUS BONGKAR BAYAK LAGI KETIRISAN YANG BERLAKU….RIV…..TELUK BATIK…..PENGGERANG…..FGVH…….DLL PROJEK YANG MENYEBABKAN DANA RAKYAT HANGUUUUUUUSSSSSSSS

    HIDUP PR

  6. tahniah bro rafizi…
    tolong dedahkan juga skandal rasuah ketua menteri sabah
    dengan kroni2nya…sprm pun tutup mata je buat2 tak. nampak.takut ler tu….

  7. Tahniah saudara Rafizi.

    Saya pelik bagaimana penyokong UMNO boleh menutup sebelah mata pasal isu ini padahal 250juta adalah duit rakyat yang diseleweng kan.

    Saya hrp penyokong2 BN tu tanya diri mereka, berapa bahagian yang mereka dapat dari 250juta tu? kalau sekadar 50sen pun, saya mengalu alukan sokongan mereka.

    Kalau tak dpt apa2, fikir masak2. Marilah bersama pembangkang berjuang utk rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.