Skandal George Kent – LRT Ampang: Hentikan Ugutan Dan Serangan Terhadap Pegawai Kanan Kerajaan

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan blogger-blogger Umno yang menyerang dan memfitnah Dato’ Fauziah Yaacob, seorang pegawai tinggi Kementerian Kewangan yang berjawatan Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan atas dakwaan beliau membocorkan dokumen-dokumen sulit berhubung pendedahan skandal anugerah kontrak LRT Ampang kepada George Kent. Penulisan salah seorang blogger tersebut ada disertakan bersama.

Tindakan blogger-blogger Umno yang umumnya diketahui mendapat dokongan penuh pimpinan Umno membuktikan Umno tidak ada rasa hormat langsung kepada penjawat awam yang hanya menjalankan tugas mereka. Saya boleh mengesahkan bahawa Dato’ Fauziah Yaacob bukanlah individu yang bertanggungjawab menyerahkan dokumen-dokumen terbabit kepada KEADILAN.

Oleh yang demikian, tindakan blogger-blogger Umno memfitnah beliau adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan pegawai-pegawai kerajaan agar tidak membantah sebarang keputusan melibatkan kerajaan yang diambil oleh ahli politik Umno. Mereka berharap dengan tekanan yang diberikan bertujuan mengaib dan mengasingkan Dato’ Fauziah Yaacob, ia menghantar amaran yang keras kepada semua kakitangan awam supaya hanya menurut telunjuk Umno/Barisan Nasional.

Saya merasa terpanggil untuk mengutarakan perkara ini kerana tindakan blogger-blogger Umno itu menghina kaum wanita di negara ini, apabila serangan ditujukan terhadap seorang penjawat awam wanita yang dihormati dan dikenali ramai seperti Dato’ Fauziah Yaacob. Serangan terhadap beliau samalah juga dengan serangan kepada pimpinan wanita lain di dalam perkhidmatan awam yang kini semakin ramai diketuai oleh pegawai-pegawai wanita.

Oleh itulah, saya mencabar pimpinan-pimpinan wanita di dalam Umno, termasuklah Menteri Wanita Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Ketua Wanita Dato’ Seri Shahrizat Jalil untuk tampil membela Dato’ Fauziah Yaacob dengan mengambil tindakan keras terhadap blogger-blogger Umno dan dalang yang menggunakan taktik “character assasination” seperti ini terhadap pimpinan kanan perkhidmatan awam, terutamanya dari kalangan wanita seperti yang menimpa Dato’ Fauziah Yaacob.

Sewajarnya pimpinan kanan perkhidmatan awam diberi kebebasan supaya bertindak mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negara. Jika benar Dato’ Fauziah Yaacob telah bertegas mempertahankan keputusan awal Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang menganugerahkan kontrak LRT Ampang kepada sebuah konsortium yang mendahului keputusan penilaian, maka sepatutnya beliau dinaikkan pangkat dan diberikan penghormatan kerana keberanian menentang campur tangan Perdana Menteri sendiri.

Inilah jenis kepimpinan dan integriti yang sewajarnya dipamerkan oleh pimpinan wanita di negara ini, bukanlah seperti seorang bekas Menteri Keluarga yang tidak tahu pekerjaan anaknya sendiri.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

15 OGOS 2012

3 thoughts on “Skandal George Kent – LRT Ampang: Hentikan Ugutan Dan Serangan Terhadap Pegawai Kanan Kerajaan”

  1. Saya turut bersimpati dengan Dato’ Fauziah Yaakob. Inilah penjawat awam yang kita mahu, yang meletakkan kepentingan Negara dan Rakyat terlebih dahulu. Bukan macam wanita lembu dan pengikut-pengikutnya yang telah sedikit banyak merosakkan mertabat wanita.

    Blogger-blogger Umno ini tak ada kerja lainkah? Sampai lupa daratan demi mempertahankan “Penyalahgunaan Kuasa dan Korupsi regim UMNO/BN” ini. Ingatlah…Tiap-tiap kejahatan yang telah dilakukan akan menerima balasan suatu hari nanti, sama ada di dunia ini atau diakhirat nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.