Pembabitan Thales Dalam 3 Bidaan Membayangkan Tangan Perdana Menteri

Projek tambahan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion menyenaraipendek 8 pembida yang dinilai dari segi keupayaan teknikal dan kewangannya.

Hari ini, KEADILAN mendedahkan kelapan-lapan pembida tersebut berdasarkan laporan penuh penilaian teknikal yang dibuat oleh perunding Halcrow yang dilantik oleh kerajaan, seperti berikut:

1. Balfour Beatty-Invensys
2. Emrail/Leighton/Ansaldo
3. Siemens
4. Samsung-LG-Thales
5. George Kent-Wijet-Thales
6. Colas-CMC-Thales
7. Posco-Sojits-Daewoo
8. SNC-WW-Bombardier

(muka surat 1 dan 2 dari laporan penuh itu disertakan bersama)

Thales adalah syarikat Perancis yang kini disiasat oleh pihak berkuasa negara tersebut atas tuduhan membayar rasuah kepada pihak-pihak tertentu yang rapat dengan Kerajaan Malaysia dan bekas Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam urusan pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

Setakat ini, dokumen-dokumen yang dikemukakan di mahkamah Perancis menunjukkan bahawa syarikat itu telah membuat sekurang-kurangnya satu pembayaran berjumlah Euro 32 juta (bersamaan RM144 juta) kepada Terasasi, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, iaitu penasihat kanan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran Thales sebagai syarikat utama dalam 3 konsortium pembida bagi projek tambahan LRT Ampang ini sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan baru mengenai hubungan rapatnya dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Daripada senarai pembida, tidak ada satu syarikat pembekal teknologi pengangkutan lain yang dibenarkan menghantar lebih dari satu bidaan, kecualilah Thales. Ini adalah perkara lazim di dalam amalan kontrak yang baik untuk memastikan setiap pembida mempunyai peluang yang sama rata.

Oleh sebab itu, keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membenarkan Thales menyertai 3 bidaan, sekaligus memberikannya 3 kali ganda peluang untuk mendapatkan kontrak ini, membayangkan hubungan yang rapat di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak dan syarikat ini yang terjalin sejak pembelian Scorpene lagi.

Maka tidak hairanlah jika konsortium George Kent-Wijet-Thales diberikan kontrak ini walaupun penilaian bidaan meletakkan mereka antara yang tercorot kerana sejarah hubungan rapat di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mereka. Pemilik George Kent adalah rakan karib Dato’ Seri Najib Tun Razak yang sering menghabiskan masa bermain golf bersama; sementara Thales pula adalah syarikat yang disabitkan dengan pembayaran komisen kepada pihak-pihak yang rapat dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Saya menganggap campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang membenarkan Thales menjadi pembida dalam 3 konsortium, termasuk arahan Prasarana bertarikh 17 Jun 2011 yang mengarahkan penilaian tetap dibuat terhadap semua pembida walaupun Konsortium George Kent-Wijet-Thales telah jelas gagal (rujuk perenggan 3 mukasurat 1 laporan teknikal), adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
13 JULAI 2012

One thought on “Pembabitan Thales Dalam 3 Bidaan Membayangkan Tangan Perdana Menteri”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.