Perintah Soalsiasat Di Bawah Akta Bank Dan Institusi Kewangan (BAFIA) Berkenaan Kes NFC

Saya menerima notis yang diserahkan secara peribadi untuk hadir memberi keterangan di Bank Negara di bawah Seksyen 87 (1)(a), Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Saya telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan pada hari ini jam 230 petang di Bank Negara.

Sementara saya menghormati tanggungjawab Bank Negara dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, saya juga khuatir jika tekanan yang berterusan yang cuba dikenakan terhadap saya dan En Johari Mohamad bertujuan untuk menutup skandal NFC.

Saya juga hairan kenapa Bank Negara tidak pula menyiasat hatta mengambil tindakan terhadap Dato’ Seri Salleh Ismail dan keluarga beliau yang secara terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat-syarikat milik keluarga beliau di Singapura dan Kazakhstan. Perkara ini diakui oleh mereka dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act)?

Tindakan memanggil saya untuk soalsiasat memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti SPRM dan Bank Negara tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa seperti saya untuk mendedahkan penyelewengan dan rasuah yang berleluasa di Malaysia. Kenyataan kepimpinan SPRM kebelakangan ini contohnya, secara jelas memusuhi rakyat kebiasaan yang mengambil tindakan berani mendedahkan perlakuan rasuah.

Fenomena ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat Malaysia dan menghalang mereka dari tampil membuat pendedahan.

Saya mendesak satu kenyataan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri untuk menafikan bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah. Apatah lagi apabila SPRM sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan ke atas seorang pun yang menganggotai jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak RM250 juta kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sedangkan jelas NFC yang dikuasai keluarga beliau langsung tidak ada pengalaman untuk mengendalikan projek tersebut.

Walaupun umum mengetahui bahawa saya berhadapan dengan tekanan dari pihak berkuasa, sehingga kini masih ramai individu dan kumpulan yang tampil untuk memberikan maklumat mengenai penyelewengan dan rasuah.

Saya akan terus membuat siasatan dan pendedahan sehinggalah kredibiliti pihak berkuasa yang bertanggungjawab terutamanya SPRM dipulihkan di mata rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

30 MEI 2012

One thought on “Perintah Soalsiasat Di Bawah Akta Bank Dan Institusi Kewangan (BAFIA) Berkenaan Kes NFC”

  1. Saya mula mengikuti aktiviti saudara sejak saudara dengan beraninya mendedahkan penyelewengan wang yang berlaku. Kini saya halusi debat antara saudara dengan KJ. Saya ingin mengucapkan SYABAS kepada saudara dan teruskan perjuangan. Rakyat perlukan pendedahan yang telus di atas segala penyelewengan yang sudah lama terjadi. Tidak ramai yang berani untuk membuat pendedahan kerana risiko yang menanti bukan calang-calang kecil. Saya tabik pada saudara. Hujah saudara di dalam debat itu sangat padat, dengan segala fakta dan huraian. Syabas! Moga ada kesempatan untuk mendengar ceramah saudara di Maskas Pas Taman Melewar.
    Takbir!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.