Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu Ke Pasaran Saham

Perjanjian pajakan tanah di antara Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dan FELDA bertarikh 1 November 2011 memberikan kuasa dan hak milik kepada FGV untuk mengusahakan tanah-tanah yang kini dimiliki oleh FELDA mengikut syarat-syarat perjanjian.

Sejumlah 847,362 ekar tanah yang kini diuruskan oleh Felda Plantations Sdn Bhd terlibat di dalam urusan pajakan ini, yang menjadi syarat utama proses penyenaraian FGV ke Bursa. Tanpa tanah-tanah ini, penyenaraian tersebut akan gagal.

KEADILAN boleh mengesahkan bahawa kami telah mendapat salinan penuh perjanjian dan senarai tanah-tanah yang terlibat. Semakan kami menunjukkan bahawa dari sejumlah 847,362 ekar tanah yang dipajakkan ini, sejumlah 105,382 ekar adalah tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu di seluruh negara.

Ini menimbulkan persoalan serius mengenai status tanah-tanah ini kerana tindakan memajakkan tanah-tanah ini kepada FGV boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu. Kedudukan FGV selepas ini tidaklah boleh dikira sebagai sebuah syarikat yang berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan. Setakat ini, peneroka Felda hanya diperuntukkan 2.5% dari jumlah pegangan saham sementara kakitangan Felda pula hanyalah 3%. Selebihnya melibatkan badan-badan lain yang dijemput masuk oleh Tan Sri Isa Samad, termasuklah Louis Dreyfus sebuah syarikat antarabangsa yang dikuasai keluarga Yahudi terkenal dari Perancis.

Oleh yang demikian, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGV yang disenaraikan di pasaran saham? Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?

KEADILAN juga menyeru supaya setiap Kerajaan Negeri di Semenanjung yang terbabit menolak sebarang usaha untuk membatalkan status Tanah Rezab Melayu yang melibatkan tanah 105,382 ekar ini.

Kami menunggu maklumbalas Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad sebelum memberikan lebih banyak maklumat mengenai Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
28 MEI 2012

3 thoughts on “Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu Ke Pasaran Saham”

  1. Apa komen Rafizi mengenai kenyataan Karpal – bukan Melayu bukan Islam boleh jadi PM? Penting ke bangsa Melayu agama Islam jadi PM?

  2. Salam Rafizi, apa implikasi kepada negara jika tanah-tanah ini dikuasai oleh syarikat-syarikat luar negara termasuk tanah rizab Melayu? Pastinya peneroka FELDA dan keluarganya akan kehilangan segala-galanya dan Melayu akan merempat di bumi sendiri. Kita rakyat Malaysia ingin kepastian. Jika skandal NFC tidak dibongkar pastinya kroni-kroni ini menggunakan dana kerajaan sewenang-wenanganya. FELDA juga ada skandalnya. Bongkar supaya rakyat terutama makcik pakcik FELDA tidak tertipu dengan skandal ini. Kesian tengok diorang kena tipu bulat-bulat.

Leave a Reply to Fahmi Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.