Saya mengikuti dengan rapat penjualan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya oleh Maju Holdings Sdn Bhd kepada EP Manufacturing Berhad dalam urusniaga yang dilaporkan bernilai RM1.7 bilion.

Ini menimbulkan keraguan serta merta memandangkan pembinaan lebuhraya
tersebut menggunakan dana awam yang besar melalui geran kerajaan
bernilai RM976.7 juta. Kos keseluruhan lebuhraya tersebut dianggarkan bernilai RM1.32 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh rakyat melalui geran RM976.7 juta yang diberikan kerajaan kepada Maju Holdings Sdn Bhd. Selain geran tersebut, saya menganggarkan suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta (iaitu 4.5% dari kos keseluruhan) kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

Oleh yang demikian, penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh
kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan. Jika ini berlaku,
selepas membayar hutang institusi kewangan berjumlah RM370 juta,
bermakna Maju Holdings Sdn Bhd bakal membuat keuntungan berjumlah
sekitar RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60
juta sahaja.

Saya mendesak Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mengesahkan sama
ada Maju Holdings Sdn Bhd akan mengembalikan dana rakyat sejumlah
RM976.7 juta itu, kerana jika tidak ia menimbulkan lebih banyak
persoalan yang akan terus menaikkan kemarahan rakyat.

Jika keuntungan RM1.33 bilion itu disimpan oleh Maju Holdings Sdn Bhd, apakah perjanjian di antara Perdana Menteri dengan pemilik Maju Holdings Sdn Bhd yang diketahui umum penyokong kuat UMNO? Adakah wujud
persefahaman agar keuntungan atas angin yang merampas dana rakyat itu
akan disalurkan kembali kepada UMNO sebagai dana pilihanraya?

Sejak akhir-akhir ini, keghairahan Perdana Menteri meluluskan
urusniaga melibatkan kroni UMNO/Barisan Nasional bernilai berbilion ringgit menguatkan syak wasangka rakyat bahawa harga yang tinggi yang dikenakan kroni merugikan rakyat. Tambahan pula, urusniaga dalam serba kerahsiaan dan tiadanya ketelusan boleh menguatkan lagi wasangka rakyat itu.

Penjualan konsesi lebuhraya ini adalah urusniaga yang kedua dalam masa sebulan yang membelakangkan kepentingan rakyat, selepas pembelian aset dan perniagaan Ananda Krishnan oleh dana 1MDB yang dikawal sepenuhnya Perdana Menteri berjumlah RM8 bilion, walaupun 1MDB tidak pernah ada sebarang pengalaman di dalam industri penjanaan tenaga.

Jumlah dana rakyat yang terlibat sebanyak RM976.6 juta itu adalah
empat kali ganda lebih tinggi dari dana yang membabitkan NFC. Perdana
Menteri mungkin berfikiran beliau boleh mendiamkan diri mengenai NFC,
tetapi sudah tentu jumlah dana rakyat sebesar RM976.6 juta ini memerlukan jawapan dari beliau memandangkan urusniaga tersebut tidak boleh berlaku tanpa kelulusan beliau sendiri sebagai Menteri Kewangan.

MOHD RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
18 Mac 2012 (dikeluarkan di Batu Pahat)

 

3 Responses to Penjualan Lebuhraya Maju Expressway: Dana Rakyat RM976.7 Juta Perlu Dipulangkan Segera

  1. Al Husseyn says:

    sorry off the topic please, saya ketua cawangan PAS Sg Rokam,Ipoh dibawah parlimen Gopeng (Dr Lee Boon Chye) ingin menjemput tuan utk berceramah ditempat kami mengenai isu lembu ini.Harap tuan dapat tentukan tarikh yang sesuai supaya dpt kami aturkan majlis tersebut.Tuan boleh kontek melalui email pd blog saya atau sms saya pd talian 013-4713999.Terima kasih.

  2. Al Husseyn says:

    Adush! That was not suppose to be published! and neither this one! I need your directv response brother!

  3. MySay says:

    Kalu UMNO diam diri berkenaan isu MajuExpress dan GeorgeKent, letak front page harakah atau yahoo pasti mengelabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Set your Twitter account name in your settings to use the TwitterBar Section.