KEADILAN Tidak Akan Tunduk Kepada Ugutan Tindakan Undang-Undang

Saya dimaklumkan bahawa NFC telah membuat satu laporan polis mensabitkan saya, YB Nurul Izzah Anwar dan YB Zuraida Kamaruddin dengan kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu kononnya dilakukan apabila kami mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar bulan lalu.

Sementara saya menghormati hak NFC dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFC supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit.

Maqassid undang-undang di dalam sesebuah masyarakat adalah untuk menjamin keadilan dan mencegah kezaliman, bukannya untuk melindungi penyelewengan dan memberi ruang kepada si pesalah melepaskan diri.

Saya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes ini. Sekiranya ada pendakwaan, saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.

Saya juga boleh mengesahkan bahawa laporan polis oleh NFC ini tidak sedikit pun mengganggu perancangan KEADILAN untuk meneruskan siri pembongkaran baru minggu depan, seperti yang diumumkan sebelum ini.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

31 MAC 2012 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.