KEADILAN Akan Bersemuka Dengan Pimpinan Tertinggi Barisan Nasional Di Mahkamah Untuk Merungkai Skandal NFC

Pihak saya dan Saudara Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan kami terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Pihak saya dan Saudara Rafizi juga telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan kami sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

Saya juga yakin bahawa apabila Dato’ Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam. Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.

Saya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

 

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN

 7 MAC 2012 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.