Beku Aset Langkah Permulaan Yang Baik, Langkah Seterusnya Lantik Pentadbir Korporat

Saya mengalu-alukan pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa aset NFC akan dibekukan sementara menunggu siasatan penuh dijalankan kerana ia menandakan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mula menerima pertanggungjawaban awal dalam skandal NFC ini, setelah mendiamkan diri selama tiga bulan.

Pun begitu, keberkesanan langkah membekukan aset itu bergantung kepada sejauh mana tindakan itu akan dilaksanakan. Saya menyeru Perdana Menteri memastikan bahawa kesemua aset yang dibeli menggunakan dana NFC oleh syarikat-syarikat lain milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil turut dibekukan. Pendedahan KEADILAN setakat ini jelas menunjukkan bahawa hartanah dan aset berharga yang dibeli tidak diletakkan di bawah NFC tetapi dimiliki oleh syarikat-syarikat lain yang dikuasai keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil. Malah, pembelian kondominium mewah di Singapura dibuat atas nama suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil sendiri.

Oleh itu, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu membentangkan pelan menyeluruh kerajaan untuk membekukan dan mengambil kembali aset-aset ini. Tindakan membekukan aset NFC sahaja adalah tidak memadai walaupun ia satu langkah permulaan yang baik.

Saya turut membidas keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak menyerahkan kawalan projek NFC hidup-hidup kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Noh Omar kerana keseluruhan penyelewengan berlaku dibawah seliaan mereka sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini.

Kejadian dana yang besar yang dipindahkan ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil berlaku pada ketika kedua-dua orang menteri ini sepatutnya memastikan dana hanya dibelanjakan bagi tujuan aktiviti perniagaan NFC sahaja. Kecuaian mereka sebelum inilah yang menyebabkan dana rakyat diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, tanah banglo, melancong ke luar negara dan lain-lain.

Tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menyerahkan tanggungjawab kepada timbalannya dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serupalah dengan tindakan mencuci tangan, dengan harapan kedua-dua mereka ini pula yang mendapat tempias.

Rakyat tidak berminat dengan permainan politik dalaman Umno asalkan keseluruhan wang yang telah diselewengkan dikembalikan kepada rakyat dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya langkah awal membekukan aset NFC ini disusuli pula dengan perlantikan pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pentadbiran NFC dan melaporkan kepada Dewan Rakyat kesemua penyelewengan yang telah berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga menteri.

Sekiranya tindakan membekukan aset tidak disusuli dengan perlantikan pentadbir korporat, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga seperti mana keputusan mengarahkan Dato’ Seri Shahrizat Jalil mengambil cuti berbayar selama tiga minggu sahaja.

 

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

14 JANUARI 2012 

One thought on “Beku Aset Langkah Permulaan Yang Baik, Langkah Seterusnya Lantik Pentadbir Korporat”

  1. Over the years there have been many accusations leveled against the families of cabinet ministers regarding their involvement in government contracts and projects. There is much talk among the public about ministers and their family,Tun Ling Liong sik and his children, Tun Mahathir and his children, Tun Badawi and Khairy Jamaludin, Datuk Seri Muhyiddin Yassin and son-in-law for the biometric project for foreign workers (note: Mahyuddin is in the Cabinet Committee for Foreign Workers). And there is wide spread belief in the public that these children and family members of ministers have become multi-millionaires. Datuk Seri Shahrizat’s and her family’s involvement in Government money is but one of numerous such scandals. Constant scandals involving ministers and their family members are seriously eroding the people’s confidence in our national institutions, destroying the imagine of the Malaysian Government, and are bane to foreign investment into our country.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.