Penangguhan Pelaksanaan 6% Cukai Perkhidmatan: Kerajaan Wajar Mengecualikan Perkhidmatan Prabayar Dari Cukai Perkhidmatan

Walaupun saya berasa lega dengan pengumuman syarikat telekomunikasi bahawa kenaikan harga prabayar akibat cukai 6% akan ditangguhkan, kita juga perlu berhati-hati dengan pengumuman ini. Adakah ini bermakna penangguhan ini hanyalah sehingga Pilihanraya Umum ke-13 dipanggil untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri?

Saya juga tetap berpendapat bahawa cara Dato’ Seri Najib Tun Razak menangani kemarahan rakyat akibat kenaikan harga tersebut memberi isyarat yang salah kepada golongan niagawan. Ketika ini, saya pasti banyak syarikat lain yang turut menjalankan amanah mengenakan cukai perkhidmatan mengikut undang-undang akan mula merasa bimbang kalau-kalau mereka mendapat panggilan dari Pejabat Perdana Menteri meminta mereka menanggung cukai tersebut.

Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai peluang untuk memperbaiki imejnya sekiranya beliau ada keberanian untuk mengumumkan pengecualian khidmat telekomunikasi prabayar yang digunakan oleh majoriti golongan berpendapatan rendah dan orang muda dari dikenakan cukai perkhidmatan 6%. Ini akan membawa kepada penurunan kos telekomunikasi yang lebih kekal dan menyumbang mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Dengan pengecualian cukai perkhidmatan 6% itu, syarikat telekomunikasi tidak ada pilihan lain kecuali menurunkan tarif panggilan bagi pengguna prabayar, kerana struktur kos panggilan prabayar selama ini sudah mengambil kira cukai perkhidmatan yang perlu ditanggung rakyat.

Perdana Menteri tidak perlu menunggu keputusan dari satu lagi makmal yang dikelolakan oleh PEMANDU yang menelan belanja besar, untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Beliau hanya perlu menggunakan sedikit kebijaksanaan orang kebanyakan dan ini boleh dilakukan dengan mengecualikan khidmat telekomunikasi prabayar dari cukai perkhidmatan.

Penangguhan kenaikan kos prabayar ini adalah satu lagi bukti kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh rakyat kebanyakan apabila ada proses timbang tara di dalam negara. Kehadiran Pakatan Rakyat yang berpengaruh di dalam Dewan Rakyat telah menguatkan suara rakyat menekan kerajaan dan merubah banyak dasar dan tindakan kerajaan yang salah sejak tahun 2008.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

12 SEPTEMBER 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.