ISA, Darurat dll

Saya dikhabarkan Perdana Menteri akan memansuhkan ISA 2 hari sebelum pengumuman dibuat. Khabarnya ia untuk menghentikan ruduman populariti beliau yang sangat terkesan selepas kekasaran penguasa terhadap demonstran Bersih.

Ramai yang bertanya bagaimana reaksi kita di sebelah Pakatan Rakyat?

Saya tidak mahu melihatnya dari kaca mata politik partisan semata-mata.

Secara peribadi saya berasa gembira dan terharu, bukan kerana visi Dato Seri Najib (saya yakin beliau bukanlah berjiwa reformasi kalau tidak ini sudah lama dibuat) tetapi bukan selalu sebuah perjuangan yang memakan masa berdekad membuahkan hasilnya.

Saya gembira dan terharu mengenangkan ribuan tahanan ISA yang tidak bernama dan menderita selama ini, akhirnya pengorbanan mereka menyelamatkan anak Malaysia di masa hadapan dari dilayan secara zalim sedemikian.

Saya berasa terharu dan gembira kerana kecekalan aktivis anti-ISA selama ini yang tidak kenal jerih akhirnya membuahkan hasil.

Dato’ Seri Najib tidak akan mengambil langkah itu kalau tidak kerana perjuangan menghapuskan ISA diperdanakan oleh pejuang dan aktivis selama ini. Kalau sebahagian rakyat Malaysia tidak membenci ISA kerana pendidikan politik sekian lama, Dato Seri Najib akan terus membela ISA.

Sekarang ini, beliau memerlukan bantuan rakyat untuk melindungi beliau dari sabotaj dan tekanan dalaman Umno yang tidak mungkin senang dengan tindakan memansuhkan ISA.

Oleh itu, kita perlu terus berwaspada dan pastikan pemansuhan ini benar-benar berlaku dan bukanlah janji untuk mengelak dari asakan politik semata-mata. Proses memansuhkan ISA ini memakan masa yang lama, malah undang-undang gantiannya (saya cukup tidak bersetuju perlu ada undang-undang yang menggantikan ISA) hanya akan dibentangkan tahun depan, besar kemungkinan selepas PRU13.

Kalau BN masih memerintah ketika itu, saya khuatir komitmen untuk memansuhkan ISA akan hanya menjadi buih-buih di tepi bibir Dato Seri Najih sahaja melihatkan mudahnya beliau tunduk kepada tekanan dalaman parti beliau. Ini bukan kali pertama beliau mundar mandir membuat keputusan, bukti paling nyata adalah kelekek (bahasa slanga Terengganu yang bermaksud suka berdolak dalih) beliau mengenai penggunaan stadium bagi tujuan rapat umum Bersih Julai lalu.

Makanya, sementara kita wajar bersyukur dan meraikan kemenangan rakyat ini, jangan pula kita lupa bahawa ia hanyalah satu kemaraan simbolik dalam perjuangan yang panjang, bukanlah kemenangan mutlak.

Untuk menjamin ISA benar-benar dihapuskan, BN mesti ditunjukkan jalan keluar dari Putrajaya dalam PRU13 nanti.

Selamat meneruskan perjuangan!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.