Membina Organisasi Yang Kuat di Akar Umbi

Berdasarkan sejarah mutakhir dunia, terdapat pelbagai cara bagaimana gerakan rakyat yang bertunjangkan isu yang khusus diterjemahkan menjadi satu perubahan yang berkekalan.

Di abad ke-19, banyak berlaku percambahan idea yang berjaya mengumpulkan pengikut yang kuat, lalu bertunjanglah pelbagai gerakan massa yang berasaskan ideologi. Mereka berpegang kepada kepercayaan yang khusus dan melalui kesetiaan kepada ideologi tersebut, jutaan manusia menawarkan khidmat untuk bersama-sama dalam barisan perjuangan mengembangkan ideologi tersebut.

Ada juga gerakan rakyat yang tidak sangat berasaskan kepada ideologi tetapi disatukan oleh satu rasa menuntut keadilan. Contoh yang jelas ialah gerakan rakyat yang dipimpina Ghandi di India dan perjuangan menghapuskan apartheid di Afrika Selatan.

Tidak kira apa jua pencetus yang menghasilkan gerakan-gerakan massa ini, selalunya ada beberapa persamaan yang nyata.

Pertama, ia selalu berlatar belakangkan kesengsaraan rakyat dan ketidakadilan yang berleluasa. Gerakan Bolshevik bertembung dengan kesengsaraan rakyat Russia yang menderita terperangkap di tengah Perang Dunia Pertama tatkala Dinasti Romanov telah hilang punca dengan keadaan sebenar rakyat. Kebangkitan gerakan komunis China di bawah Mao juga berlatar belakangkan keruntuhan Dinasti Qing dan huru-hara yang berlaku selepas itu – perebutan kuasa golongan nasionalisme dan penjajahan Jepun. Begitu juga dengan penindasan British di India yang disimbolkan oleh tragedi pembunuhan beramai-ramai oleh Dyer, atau pun dasar tidak berperikemanusiaan yang dipegang rejim Pretoria sehingga tahun 1994.

Kesengsaraan rakyat dan ketidakadilan yang melampau menolak rakyat untuk bangkit; persoalannya hanyalah bentuk yang bagaimana yang diambil oleh kebangkitan rakyat itu.

Persamaan kedua adalah kebolehan gerakan-gerakan rakyat ini menyusun organisasi mereka dengan cepat.

Mereka yang pernah menonton Dr Zhivago sudah tentu boleh memahami bagaimana cepatnya organisasi komunis mengambil alih tampuk kekuasaan di bandaraya-bandaraya utama Russia pada ketika itu, kerana golongan pekerja sudah pun menyusun organisasi melalui majlis-majlis pekerja yang dipanggil “soviet” pada ketika itu.

Begitu juga dengan kemunculan Parti Kongres di India atau ANC di Afrika Selatan yang dengan cepat menggemblengkan sokongan rakyat untuk disusun menjadi sebuah organisasi yang mantap dan terlatih, supaya perubahan kuasa berlaku dengan baik.

Sudah tentu ada berlaku tragedi – perang selepas Revolusi Bolshevik di antara Red Army dan White Army banyak mengorbankan nyawa, tetapi tidaklah sampai berulangnya kacau-bilau yang dipanggil reign of terror sebaik selepas Revolusi Perancis dahulu.

Pokoknya, menterjemahkan suara rakyat menjadi perubahan yang kekal memerlukan dua peringkat utama.

Pertama, kehadiran tokoh besar yang bisa mengungkap tangisan dan keluh-kesah rakyat menjadi aspirasi besar, yang menjadi inspirasi agar rakyat terus bangkit menuntut reformasi. Ini kita telah capai dalam konteks Malaysia, selepas gerakan reformasi dalam tahun 1998. Aspirasi menuntut perubahan itu masih kekal dan kini menjadi tunjang kepada objektif politik Pakatan Rakyat.

Peringkat yang kedua ialah menggunakan kesempatan hasil dari gelombang rakyat tadi untuk menyusun barisan yang kemas dan berkebolehan mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Proses yang kedua ini memerlukan kesabaran dan selalunya mengambil masa yang lama. Proses ini jugalah yang menjadi fokus Keadilan di beberapa tempat, dan sewajarnya diangkat menjadi keutamaan gerak kerja parti.

Majlis Pimpinan Negeri Terengganu telah memutuskan untuk menjalankan Program Pengukuhan Akar Umbi, dengan matlamat melatih 100 orang petugas parti yang komited bagi setiap cabang dan dilengkapkan dengan latihan asas kepartian, termasuklah berkaitan pilihanraya, pentadbiran, pengendalian program dan lain-lain. Rasionalnya mudah – 100 orang petugas yang komited (tidak kira berapa ramai ahli parti di sesebuah cabang) adalah keperluan minima yang boleh menjamin licinnya gerak kerja parti di sesebuah cabang.

Saya telah diberi amanah untuk mengetuai program ini bersama-sama Sdr Rosli Abdulah, Setiausaha MPN yang berpengalaman luas membina organisasi akar umbi melalui ABIM dan gerakan dakwah Islam. Dengan dibantu Sdr Tengku Roslan (Setiausaha Kerja MPN Terengganu), program pilot telah diadakan bagi cabang Kuala Terengganu pada 3 September yang lalu.

Modulnya mudah iaitu untuk mengumpulkan kembali ahli-ahli parti agar dekat dan setia dengan aktiviti parti. Dari proses ini, kita boleh mengenal pasti ahli yang komited dan dicerakinkan pula kemahiran masing-masing, supaya mereka boleh dilatih dengan tugasan yang khusus. Proses ini juga penting untuk membina sense of belonging kepada parti.

Natijahnya banyak, termasuklah menghidupkan kegiatan parti dan mencungkil bakat kepimpinan dan aktivis baru melalui program-program yang berterusan. Kesukaran parti-parti politik di Malaysia adalah sama, iaitu kurangnya aktiviti yang membolehkan anggota duduk bersama dan turut serta dalam perjuangan parti sehinggalah mewujudkan kitaran songsang yang melemahkan parti.

Sebab itu, harapan MPN Terengganu adalah dengan bermulanya program pengukuhan akar umbi dan bila mana setiap cabang mempunyai 100 anggota yang komited, secara automatik program dapat dijalankan secara berterusan. Ini seterusnya mewujudkan suasana sihat yang menarik minat lebih ramai anggota untuk turut serta.

Majlis dimulakan dengan taklimat oleh Sdr Tengku Roslan, diikuti dengan taklimat politik dan pilihanraya oleh En Wan Ismail (dikenali setempat dengan panggilan Ayah Wang). Saya cukup tertarik dengan penjelasan beliau mengenai mitos-mitos kekuasaan politik Melayu yang dimainkan oleh lawan – hujah dan analisis beliau wajar dibawa kepada rakyat supaya mitos-mitos ini boleh dimatikan segera.

Sdr Rosli menjelaskan beberapa perkembangan politik semasa di samping menerangkan resmi gerakan akar umbi. Beliau juga mengupas konsep dakwah dalam politik kepartian.

Tugas saya adalah mudah iaitu menerangkan 4 langkah utama bagaimana program pengukuhan akar umbi ini akan dilaksanakan di seluruh Terengganu. Selain menerangkan sebab dan kesan baik kepada parti apabila kita berjaya mendapatkan 100 orang yang komited di setiap cabang, saya bersyukur kerana anggota-anggota yang hadir bersetuju untuk melaksanakan 4 langkah berikut:

1)      Mengenal pasti 100 orang yang dikira komited dan mengumpulkan nombor telefon bimbit masing-masing. Cabang Kuala Terengganu akan melaksanakan sistem SMS blasting kepada anggota-anggota, bermula dengan 100 orang yang pertama ini, untuk menyebarkan maklumat dan kegiatan parti

2)      Pada setiap bulan, seorang anggota akan menawarkan diri secara sukarela untuk menjalankan satu kegiatan parti untuk anggota parti – sama ada ceramah kelompok, latihan politik, majlis silaturrahim dan sebagainya. Anggota-anggota akan dijemput melalui SMS dan telefon dan kenalan, dengan matlamat meningkatkan penyertaan dari satu bulan ke satu bulan sehinggalah penyertaan kekal melebihi aras 100 orang setiap program

3)      Pengurusan Cabang akan mula menjalankan aktiviti latihan dan mengukuhkan parti dari segi kepimpinan

4)      Setelah sampai satu peringkat yang mana takat critical mass telah dicapai (melalui langkah 1 hingga 3 yang berterusan), kepimpinan cabang boleh mula menganjurkan program besar di peringkat daerah mengundi seperti ceramah perdana, kempen mendaftar pengundi dan lain-lain kerana sudah ada petugas yang komited dan dilatih khusus untuk menjalankan program-program ini

Saya agak terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anggota-anggota cabang Kuala Terengganu dan salah seorang anggota dengan pantas menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah program seterusnya, iaitu majlis hari raya bagi cabang Kuala Terengganu.

Majlis disudahi dengan berbuka puasa bersama-sama anggota dan solat berjemaah – terima kasih kepada semua rakan-rakan terutamanya Ketua Penaja Cabang Kuala Terengganu; Pak Mansor yang bertungkus lumus memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Insya Allah, seterusnya kami akan ke Setiu untuk melancarkan program yang serupa.

(gambar-gambar program akan disiarkan dalam masa terdekat)

One thought on “Membina Organisasi Yang Kuat di Akar Umbi”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.