Harapan Baru AMK: Rafizi Bawa Misi Generasi Reformasi, Mahu Perubahan Dinamik

(Wawancara ini disiarkan di dalam Sinar Harian, 4 September 2010)

Bagi penggemar politik, mungkin tidak semua mengenali Mohd Rafizi Ramli (Rafizi). Lahir di Besut, Terengganu pada 14 September 1977, sebenarnya seorang yang lantang bersuara mewakili mahasiswa zaman pengajian lagi.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Ismail, Kemaman pada 1984 hingga 1989 sebelum meneruskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah di Leeds University, United Kingdom dari 1996 hingga 1999, Rafizi kini nampaknya semakin berani mengorak langkah serius dalam dunia politik tanah air.

Walaupun begitu, beliau yang ketika ini selesa menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, namun tidak dapat lari dari menerima kritikan mengenai pencalonannya merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) atas alasan masih mentah serta seorang calon yang dikatakan agak ‘rapat’ dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Ikuti wawancara beliau bersama NORHASPIDA YATIM dan jurufoto MOHD AZMI ARYANTO mengenai hasrat penglibatan anak muda hasil kelantangan suara reformasi ini sebagai politikus negara.

Apakah perkara yang mendorong saudara menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)?

Rafizi: Pada dasarnya, gerakan reformasi pada tahun 1998 telah membawa satu lembaran baru kepada sejarah politik tanah air apabila ia menggabungkan kumpulan-kumpulan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama. Generasi reformasi ini mewakili suara anak Malaysia yang mahukan perubahan dinamik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.

Saya melihat AMK sebagai barisan utama dalam mendekati golongan muda yang memerlukan dinamisme tinggi. Isu yang diperjuangkan perlu melambangkan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda yang mempunyai cita rasa berbeza-beza.

Berdasarkan misi ini, saya dan rakan-rakan yang lahir dari semangat kebersamaan dan kepelbagaian hasil dari gerakan reformasi ingin menawarkan diri untuk menyuntik dinamisme itu ke dalam AMK sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Apakah ada yang tidak kena dengan kepimpinan Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai teraju AMK hingga perjuangan AMK dirasakan perlu perubahan?


Rafizi: Saya rasa kita tidak boleh meletakkan sama ada bagus atau tidak bagus mengenai pentadbiran seseorang kerana bagi saya persaingan itu sihat. Tambahan pula, di peringkat nasional juga sering menekankan semangat berdaya saing dari segenap sudut.

Dari segi tumpuan dan hala tuju yang hendak dibawa, Shamsul dan kumpulan sedia ada memiliki pendekatan tersendiri. Tetapi, kami merasakan terdapat sedikit perbezaan dari segi tumpuan mengenai isu yang pelbagai jika mahu mentadbir sehingga ke Putrajaya.

Oleh yang demikian, bagi saya, soal kepelbagaian itu mempengaruhi hasrat saya untuk bertanding kerana ia penting untuk memenuhi impian pengundi berjumlah 4.6 juta yang terdiri dari kalangan yang pelbagai.

Kalau kita imbas keputusan PRU12, sebahagian besar pengundi baru khususnya remaja memilih pembangkang, khasnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Apakah yang akan dilakukan oleh AMK untuk memastikan pengundi ini kekal bersama PKR?

Rafizi: Sebenarnya, perkara ini yang menjadi masalah kerana kita sedia maklum bahawa golongan muda cenderung untuk setia terhadap sesebuah parti berdasarkan sesuatu isu dan tawaran. Kesetiaan mereka tidak sama dengan kesetiaan golongan tua.

Saya rasa, pada PRU 2008, terdapat gabungan isu dari segi kelemahan UMNO, Barisan Nasional (BN), kos sara hidup dan karisma yang ada pada DSAI. Selama manakah isu seperti ini mampu bertahan? Saya tidak fikir ia mampu bertahan selama-lamanya.

Sebab itulah, dengan masalah baru yang teruk melanda golongan muda sedia ada seperti tidak mampu menanggung kos sara hidup, dimana difahamkan setiap bulan kira-kira seribu orang diisytiharkan bankrap dari golongan muda, perlu diberi penekanan.

Sebagai langkah pertama ialah kita perlu keluar daripada kekangan sentimental reformasi. Bukan bermaksud menolak reformasi, tetapi kita tidak boleh membawa kekangan 12 tahun lalu sehingga ke hari ini kerana 12 tahun lalu, orang muda sedang ‘marah’ sedangkan sekarang kebanyakan golongan muda sedang ‘bankrap’.

Jadi, isu-isu yang menarik minat golongan muda seperti isu kos sara hidup, kerjaya, pendapatan berkualiti, kebebasan internet dan pembiayaan pendidikan adil ini perlu dibawa sama tinggi dengan isu-isu tradisional AMK.

Boleh jelaskan, apakah peranan saudara sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor?


Rafizi: Kerajaan Negeri Selangor melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi. Dalam perlantikan itu, terdapat beberapa tugas dan misi khas. Termasuklah memberi penumpuan kepada projek-projek rakyat terutama dari segi promosi pelaburan dan sebagainya.

Jadi, bagi Dato’ Seri tugas itu tidak boleh dipikul oleh beliau seorang sahaja. Sebab itulah beliau mempunyai satu pejabat khas. Secara ringkasnya, tugasan saya di pejabat penasihat ini lebih kepada perancangan dan koordinasi.

Maksudnya, kita melihat kepada semua projek-projek sama ada yang sedang dijalankan oleh kerajaan Selangor dan juga cadangan projek baru yang dibawa serta mengenal pasti yang mana benar-benar memberi kesan kepada rakyat dalam tempoh terdekat. Jadi projek itulah yang akan dipilih, dinilai secara komersil dan bagaimana dasar itu boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Seterusnya, setelah kita mempunyai tujuh hingga lapan projek-projek sebegini yang perlu ditekankan, pemantauan dan koordinasi juga kita laksanakan. Maksudnya, kedudukan Anwar sebagai ketua Pakatan Rakyat memudahkan beliau menjalankan koordinasi dengan pelbagai jabatan serta ahli politik untuk memastikan projek rakyat yang penting ini dapat dilaksanakan segera.

Tugas kami dari sudut pentadbiran secara profesional ialah menilai, membuat arahan dan mengkoordinasi supaya semua tindakan dilaksanakan.

Apakah kedudukan jawatan saudara di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu boleh membantu saudara untuk menang dalam pemilihan jawatan Ketua AMK?


Rafizi: Saya rasa tidak. Secara peribadinya saya rasa ia adalah satu tanggungjawab dan kewajipan. Orang akan begitu mudah memutar belitkan perkara ini dengan mengatakan wujudnya hubungan rapat di antara saya dengan Dato’ Seri. Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu melibatkan perkara ini dalam pertandingan.

Sekiranya ada yang bertanya adakah posisi sedia ada sekarang ini membantu saya untuk menang, jawapannya adalah tidak.

Ramai melihat PKR goyah setelah beberapa orang pemimpin dan wakil rakyatnya belot. Apakah faktor yang menyebabkan ianya berlaku?


Rafizi: Hal ini berlaku kerana ia berkait rapat dengan calon yang dipilih. Apabila mereka tidak melepasi arus perjuangan yang lama dan terdiri daripada calon-calon bidan terjun, dugaan-dugaan dari sudut wang ringgit dan lain-lain perkara mempengaruhi mereka.

Ini adalah proses yang biasa berlaku untuk parti politik yang baru. DAP, Pas telah melaluinya. UMNO pun pada hakikatnya melalui perkara yang sama. Cuma, bagi saya tempoh tiga hingga enam tahun akan datang penting bagi AMK kerana AMK bertanggungjawab untuk menyediakan calon-calon untuk wakil rakyat yang diuji dan diberi latihan idealisme yang kekal.

Jadi, sekiranya AMK memainkan peranan dengan cukup baik, menjelang PRU13 saya rasa masalah lompat parti dan isu ketidaksetiaan ini tidak lagi timbul memandangkan rekod YB muda sekarang pun cukup baik.

Bagaimana latar belakang pendidikan dan bilakah permulaan saudara berkecimpung dalam politik?


Rafizi: Saya adalah presiden Majlis Tertinggi Pelajar-Pelajar Malaysia di United Kingdom (UKEC) bagi pelajar Malaysia yang sekarang setiap tahun menganjurkan Malaysian Student Leadership Summit. Ketika pertengahan tahun 1990an hingga tahun 1998, UKEC aktif dari segi gerak kerja mahasiswa melalui gabungan bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis).

Tahun 1997, bermulanya satu gabungan yang dipanggil Majlis Permuafakatan Mahasiswa (MPM) yang kemudiannya dibubarkan ekoran fenomena reformasi. Selepas itu, MPM mengambil pendekatan yang aktif berhubung isu-isu nasional. Secara kebetulan, pada tahun 1997 dan 1998, terdapat dua tiga isu nasional yang cukup besar.

Antara isu yang meninggalkan kesan ialah kemelesetan ekonomi yang cukup memberi kesan kepada pelajar luar dan dalam negara sehinggakan ada ura-ura mengatakan kerajaan akan menarik balik pelajar luar negara dan menempatkan di universiti tempatan.

Jadi, dari situ bermula aktivisme saya dan juga rakan-rakan dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PKPIM, Gamis dan lain-lain persatuan.

Secara kebetulan juga pada tahun 1998, apabila reformasi berlaku, DSAI adalah ahli kehormat UKEC yang setiap tahun tidak pernah meninggalkan program kami. Jadi, disitulah terjalinnya hubungan bersama beliau.

Apabila reformasi meletus, antara orang yang awal turun adalah dalam kalangan pelajar. Mereka yang mula memboikot akhbar, menulis makalah melalui gabungan MPM ini. Hasil daripada itu, saya kemudiannya kembali ke luar negara (UK) untuk menamatkan pelajaran, tetapi dari segi gerak kerja reformasi, saya bersama-sama Raja Petra dan Dr Rahim Ghouse menjadi penggerak utama di dalam Free Anwar Campaign (FAC) di mana Raja Petra di Malaysia, Dr Rahim di Australia dan saya di UK.

Setelah PKR ditubuhkan secara automatik pada tahun 1999, Pemuda Keadilan ketika itu di bawah pimpinan Ezam Mohd Nor dan YB Saifuddin Nasution mengambil saya dan beberapa rakan masuk ke dalam Exco.

Jadi, bermula tahun 2000, saya dilantik sebagai exco Pemuda Keadilan di bawah portfolio antarabangsa sebelum dilantik menjadi Bendahari Keadilan Pusat pada tahun 2003.

Sejauh mana saudara mengenali DSAI?


Rafizi: Siapa yang tidak mengenali DSAI. Hampir semua individu mengenalinya. Sebenarnya, kali pertama saya mengenali beliau ketika saya di Tingkatan 5 kerana beliau telah datang ke sekolah saya atas jemputan rasmi.

Tetapi, dari segi mengenali Dato’ Seri ini, rakan-rakan sedia ada jauh lebih mengenali beliau memandangkan saya tidak begitu banyak berinteraksi dengannya. Walaupun sebelum ini saya berada di pejabatnya, hubungan yang terjalin antara kami adalah hubungan yang cukup profesional.

Mungkin disebabkan tugas aya mengendali polisi. Jadi, hubungan seorang pemimpin dengan kumpulannya wujud setakat itu sahaja, iaitu melibatkan kerja yang professional. Jika ada yang bertanya sama ada saya mengenalinya, (jawapan saya adalah) saya tidak mengenali beliau dengan lebih mendalam.

Ada pihak mengaitkan keputusan saudara bertanding merebut jawatan sebagai Ketua AMK ini setelah mendapat restu DSAI?


Rafizi: Situasi sebenarnya begini, pada tahun 2007, apabila berlakunya pemilihan, semua kakitangannya termasuklah Nik Nazmi dan Sim Tze Tzin diberi arahan supaya tidak melibatkan diri kerana mahu menumpukan perhatian kepada pilihanraya.

Kemudian, apabila ada antara rakan-rakan yang duduk semeja lalu membuat keputusa untuk menawarkan diri, sudah tentulah saya sebagai kakitangan Dato’ Seri perlu bertanya untuk mendapatkan keizinan beliau.

Beliau memberikan keizinan. Tetapi, keizinan diberikan oleh beliau itu disalah ertikan oleh pelbagai fahaman yang kemudiannya mencetuskan spekulasi.

Sekiranya menang Ketua AMK, apa janji untuk memastikan pengaruh AMK terus kukuh dan relevan membantu parti induk PKR?


Rafizi: Bagi saya, tindakan utama yang akan dilakukan oleh sesiapa pun yang menang dalam pertandingan adalah mengukuhkan organisasi. Keadilan mempunyai 31 kerusi yang perlu dipertahankan dan untuk ‘menawan’ Putrajaya, kita memerlukan 14 sehingga 15 kerusi baru selain kerusi daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Jadi, sekiranya ada yang bertanya apa tindakan saya yang paling awal tidak lain tidak bukan ialah mengukuhkan jentera di 46 kerusi ini kerana ini adalah medan pertemputan yang perlu dipertahankan.

AMK adalah barisan jentera paling hadapan dan mereka adalah individu yang akan sentiasa memastikan setiap program yang dijalankan berjalan lancar. Maka, kita perlu memastikan 46 kerusi ini iaitu kekal menguasai 31 kerusi dan 15 kerusi target dipertahankan.

Sementara itu, dalam masa yang sama, pimpinan di peringkat nasional juga digalakkan membawa isu-isu yang menggamit minat generasi muda.

4 thoughts on “Harapan Baru AMK: Rafizi Bawa Misi Generasi Reformasi, Mahu Perubahan Dinamik”

  1. salam,
    very keen to know your effectiveness as dsai’s office ceo.this particularly mean follow up,follow through,push
    push push till results is achieved.
    not sure if there has been investments from korea,china,aus,mid east,europe usa or TANGIBLE net
    positive gain to rakyat projects approved with real results.
    no excuses please.

    this will give us indication that YOU can DELIVER.

  2. Kita, Anak Muda Kini, bukannya cakap soal idealisme sahaja, idealisme itu harus rasional dengan keadaan semasa. Islam itu ideal dan rasional pada semua keadaan, kerana jika tidak rasional, itu mengingatkan kita pada percubaan perbankan Islam di Mesir 1960 yg tak berjaya kerana tidak rasional dgn keadaan sekeliling.

    Pendekatan Rafizi, dirasakan rasional dengan org muda, di mana kita dapat nampak sendiri idealisme (cthnya: ekonomi manusiawi, masyarakat madani dsb) diaplikasi ke atas isu2 semasa org muda.

    Kita tak kisah apa pun kisahnya Pemilihan nanti, isu ini musti terus dibawak dengan istiqamah sebab inilah isu sejagat yg dihadapi org muda Negara seluruhnya tak kira fahaman, ye dak? 😉

  3. perasan penerangan latarbelakang pendidikan, dari sekolah rendah terus ke universiti? haha maybe the midlevel school name is a taboo…lol

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.